"Bapa" tunjuk hero bawa parang kwang tao di Sibu ditangkap

SIBU-- Seorang lelaki ditangkap kerana membawa sebilah senjata 'kwang tao' di tempat awam iaitu di kawasan lapang di Jalan Wong King Huo, di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditangkap sekitar jam 12.20 tengah malam oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 22 April sekitar jam 5.00 petang di lokasi tersebut. 

"Punca kejadian kerana suspek berang apabila dihubungi oleh anak lelakinya memberitahu ada sekumpulan remaja
lelaki mahu memukul anaknya itu.

"Suspek bergegas ke tempat kejadian daripada rumahnya sambil membawa bersama sebilah 'kwang tao'," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. 

Jelasnya lagi, suspek direman selama empat hari, bermula hari ini sehingga 27 April 2024 bagi membantu siasatan. 

"Semakan juga mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau serta hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar orang ramai tidak lagi membuat sebarang komen-komen di media sosial
ke atas video tular tersebut hingga boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 1 minit 38 saat yang dimuatnaik di laman media sosial melibatkan suspek yag membawa senjata 'kwang tao' di tempat awam.

Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat semalam sekitar jam 11.48 malam oleh seorang pengadu.

Berikutan laporan itu, usaha mengesan suspek giat dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sibu hingga berjaya menangkap suspek.
Next Post Previous Post