Gagal Seludup 750 Guni Bawang Merah Ke Indonesia

BAU-- Tentera Darat Malaysia (TDM) mematahkan cubaan menyeludup 750 guni bawang merah ke negara jiran Indonesia di sektor Op Awas/Keris Parang di sini, malam tadi.

Sel Operasi Media Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) berkata, sepasukan anggota TDM yang sedang melaksanakan penugasan rondaan di Ladang Kelapa Sawit Empaling Kampung Stass, iaitu jarak lebih kurang 120 meter dari sempadan Indonesia telah menahan sebuah lori enam tan jenis Mitsubishi Fuso pada jam 11.20 malam.

"Lori itu yang sedang membawa muatan yang bertutup cuba memasuki negara
Indonesia dengan menggunakan jalan tidak sah.

"Hasil daripada pemeriksaan mendapati seorang lelaki warga tempatan yang
berumur 54 tahun telah membawa muatan sebanyak 750 guni yang berisi bawang merah kecil dianggarkan berjumlah RM 75,000 untuk diseludup ke Indonesia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kesemua hasil rampasan termasuk sebuah lori enam tan jenis Mitsubishi Fuso dianggarkan berjumlah RM 195,000.00.

"Kesemua barang rampasan beserta dua orang warga tempatan yang ditahan diserahkan kepada pihak Polis di Balai Polis Bau, Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

"Tentera Darat akan terus komited untuk memperketatkan kawalan di persempadanan Malaysia-Indonesia bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara dari sebarang bentuk pencerobohan PATI, kegiatan penyeludupan mahupun jenayah rentas sempadan," ujarnya.
Next Post Previous Post