Dua suspek kes samun, ragut di Taman Desa Wira direman tujuh hari

KUCHING-- Dua suspek yang terlibat dalam kes samun ragut di Taman Desa Wira, Batu Kawa di sini direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Majistret Zubaidah Sharkawi meluluskan permohonan reman kedua-dua suspek berusia 20 dan 30 tahun itu mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Berdasarkan laporan media semalam, kedua-dua suspek ditangkap selepas terlibat dalam kes samun dan ragut hingga mendatangkan kecederaan ke atas seorang wanita berusia lewat 50-an.

Semasa kejadian, mangsa sedang berjalan di tepi jalan di Taman Desa Wira, Batu Kawa tiba-tiba didatangi kedua-dua suspek yang menunggang motosikal merah yang cuba meragut beg tangannya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong dalam satu kenyataan semalam berkata mangsa cuba melindungi begnya daripada diragut suspek, dan pada masa sama sebuah kereta dipandu orang awam berhenti di hadapan motosikal suspek dan berjaya menahan seorang daripada mereka.

Bagaimanapun, suspek yang berjaya melarikan diri pula ditangkap pada hari sama sekitar jam 5 petang di Jalan Lapangan Terbang Kuching Lama.

Kes yang disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dikendalikan Insp Nyaum Ringkai dibantu Sgt Azmi Roslan.
Next Post Previous Post