Dadah bernilai RM639,250 dirampas di Miri, dua ditangkap

MIRI-- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak berjaya merampas 16,228.73 gram syabu, 198 gram ketamin dan 3,750 biji pil erimin 5 bernilai RM639,250 serta menangkap dua lelaki dalam dua serbuan di Miri.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, pada 11 April lalu sekitar jam 10 malam, sepasukan polis dari JSJN Sarawak telah menangkap seorang lelaki berusia 26 tahun di hadapan sebuah pusat hiburan di Miri dan merampas 31.73 gram dadah syabu.

"Berikutan itu, dengan dipandu arah oleh suspek, pasukan polis telah menahan seorang lelaki berusia 33 tahun di sebuah kondominium dan merampas sejumlah 16,197 gram syabu, 198 gram ketamin dan 3,750 biji pil erimin 5.

"Keseluruhan dadah yang dirampas ini dianggarkan bernilai RM639,250," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mancha, ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif methamphetamine dan amphetamine.

"Suspek pertama mempunyai empat rekod lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek kedua mempunyai enam rekod lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan enam rekod lampau di bawah Kanun Keseksaan," dedahnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan untuk 85,194 orang penagih.

Selain itu, katanya polis turut merampas satu salinan penyata akaun, lima kotak mengandungi bungkusan firmapress berisi serbuk seberat 80 kilogram disyaki ramuan untuk memproses jus, seunit vakum pembungkus, seunit mesin pengisar, seunit penimbang digital, dua paket plastik terdapat sejumlah plastik kosong, dua batang senduk plastik warna merah, sebatang senduk besi dan senit penapis besi.

Pada sama sama katanya polis turut menyita harta milik suspek yang bernilai RM15,000 iaitu sebuah kereta jenis proton wira, bernilai RM10,000 dan seutas jam tangan bernilai RM5,000.

"Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah mendapatkan bekalan dadah dari Semenanjung Malaysia dan mengedar dadah di sekitar Miri.

"Suspek dipercayai menerima upah di antara RM2,000 hingga RM5,000 sebulan," ujarnya.

Tegasnya lagi, kedua-dua suspek kini ditahan reman di bawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama enam hari mulai 12 hingga 18 April untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Seksyen ini memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup, dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 12 sebatan bagi pesalah yang disabitkan kesalahan," katanya.

Justeru, beliau memberitahu pihaknya akan meneruskan siasatan untuk mengesan saki baki sindiket yang terlibat dan berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti kegiatan dadah yang berlaku di sekeliling mereka. 

"Maklumat boleh disalurkan melalui hotline JSJN di talian 012- 2087222," ujarnya. 
Next Post Previous Post