Bekalan elektrik Bintulu ditambah 1,500MW menjelang 2028

Datuk Patinggi Abang Zohari semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di Bintulu

BINTULU— Sarawak menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti tenaga elektrik kepada 1,500 megawatt (MW) menjelang 2028 di Bintulu menggunakan kitaran turbin gas, kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, proses penjanaan elektrik melalui turbin gas lebih cekap dan kompetitif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi dan industri.

Premier Sarawak bersalaman dengan pengunjung yang hadir ke Majlis Ramah Tamah anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA)

Beliau berkata, usaha meningkatkan kapasiti bekalan elektrik itu akan dilaksanakan secara berfasa dengan fasa pertama 1,000 MW diikuti fasa kedua 500MW.

“Hari ini saya hendak mengumumkan bahawa bekalan tenaga elektrik dinaikkan hingga 1,000 megawat menerusi kitaran turbin gas

“Jadi fasa pertama kita akan tingkatkan tenaga elektrik kepada 1,000 megawat, manakala fasa kedua akan menjana 500 megawatt lagi pada tahun 2028, ini bermakna Bintulu akan dibekalkan tenaga elektrik 1,500 megawatt,”katanya lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Premier Sarawak menyempurnakan acara simbolik menggaul rendang bersama Timbalan Pengerusi BDA, Dato Haidar Khan

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di sini pada Rabu. 

Sementara itu Premier memberitahu, Bintulu akan menerokai cara baharu untuk penjanaan elektrik melalui tenaga kinetik. 

“Saya hendak mencuba cara baharu menggunakan gelombang iaitu tenaga kinetik. Kinetik bermakna alunan gelombang mobiliti. 

“Saya akan cuba di Samalaju di mana kita sudah ada jeti yang ada lebih kurang 3.5 kilometer dengan menggunakan alunan gelombang,”katanya.

Beliau menambah, sekiranya perkara itu berjaya maka Bintulu akan menjadi lokasi yang pertama menggunakan gelombang tenaga elektrik.
Next Post Previous Post