SK Nanga Oyan digugur terima peruntukan sekolah daif

KAPIT— Kerja-kerja baik pulih Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Oyan, Kapit yang sepatutnya dilaksanakan di bawah peruntukan RM1 bilion sekolah daif terbantut selepas sekolah itu digugurkan pelaksanaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai, berkata, sebelum ini SK Nanga Oyan tersenarai antara sekolah daif di Sarawak yang akan dibaik pulih.

“Berikutan itu kita terpaksa menunggu peruntukan daripada Kementerian Pendidikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

“Sementara itu, saya akan berusaha memohon bantuan melalui  Ahli Parlimen Hulu Rajang yang juga Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong untuk memberikan bantuan baik pulih sekolah,” katanya lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau berucap pada program lawatan kerja di Rumah Unting, Nanga Sekeroh Tengah, Sungai Oyan, Kapit pada Selasa.

Sementara itu Nicholas berkata, penduduk rumah panjang di kawasan itu boleh menikmati bekalan elektrik berterusan dari bandar berbanding sekarang menggunakan tenaga solar.

“Namun usaha kerajaan membekalkan elektrik ini tidak mendapat kerjasama daripada pemilik tanah yang tidak membenarkan tiang elektrik didirikan di tanah mereka.

“Selain itu ada yang memohon pampasan terlampau tinggi menyebabkan usaha memasang menyambung bekalan elektrik berdepan cabaran,” katanya.
 
Beliau turut memberitahu Pejabat Daerah Bukit Mabong dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membaiki jalan rosak menuju ke rumah panjang kawasan Sungai Sekeroh Tengah.

Nicholas Kudi turut mengumumkan peruntukan untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Umbang, Rumah Jimmy Jaraw, Rumah Unting, Rumah Nulai, Rumah Jana, Rumah Sylvester Jimba dan SK Nanga Oyan berjumlah keseluruhan RM32,000.
Next Post Previous Post