Sarawak setuju bina hospital, sekolah daif guna peruntukan sendiri dulu

Fadillah berswafoto bersama salah seorang penduduk pada majlis penyampaian bantuan Aidilfitri di Kampung Pinang Jawa

KUCHING— Kerajaan Sarawak bersetuju menggunakan dana sendiri terlebih dahulu bagi melaksanakan projek bina baharu hospital dan sekolah daif di negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat pembangunan Sarawak bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan ke sini semalam.

“Kerajaan Persekutuan pula akan menampung atau membiayai dana tersebut kelak bagi memastikan pembinaan dijalankan terlebih dahulu.

“Mana-mana (fasiliti) yang mempunyai keperluan mendesak di mana ia dalam keadaan teruk dan tidak selamat diduduki akan diberi keutamaan. Kerajaan Negeri boleh membina dahulu dan akan dibiayai kemudiannya oleh Kerajaan Persekutuan.

“Dua kategori, iaitu daif dan hampir daif, akan dikenal pasti nanti dan akan dilaksanakan,” katanya dipetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Duit Raya anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Muslim Kampung Gita Matang di Dewan Serbaguna Kampung Pinang Jawa pada Ahad.
 
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu berkata, Anwar turut memberikan panduan dalam mesyuarat pada Sabtu lepas bagi menangani segala isu yang berhubung kait dengan klinik, hospital dan sekolah-sekolah termasuk kuarters kerajaan yang dalam keadaan daif.

Sebelum ini, Perdana Menteri itu memberi kuasa kepada Sarawak untuk melaksanakan projek fasiliti bernilai RM50 juta ke bawah.

Semalam, Anwar ketika mempengerusikan Taklimat Pembangunan Sarawak berkata telah diberi taklimat mengenai pelbagai isu, cabaran, perancangan dan keperluan bagi pembangunan perkhidmatan kesihatan dan sekolah daif di Sarawak.

“Antaranya mengenai kekurangan nisbah perkhidmatan kepakaran perubatan kepada penduduk berbanding purata nasional, kekurangan institusi perubatan khas bagi rawatan kanser, wanita dan kanak-kanak, rehabilitasi, perubatan respiratori, pusat darah dan kepakaran pergigian. 

“Malah, lima daerah di Sarawak masih tidak mempunyai hospital walaupun penduduk melebihi 30,000 orang serta terdapat pecahan yang signifikan bilangan sekolah yang tiada peruntukan pembangunan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau menggesa Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi serta semua kementerian dan agensi berkaitan memberi perhatian khusus dan segera bagi memastikan kelancaran perancangan dan pelaksanaan projek-projek di Sarawak secara berkesan. 

“Saya turut bersetuju agar Kementerian Kesihatan mempercepatkan proses pembinaan Pusat Kanser Sarawak. 

“Projek-projek ini merupakan inisiatif berimpak tinggi kepada rakyat, khususnya warga Sarawak di luar bandar yang akan menikmati manfaat dalam jangka masa panjang,” katanya.
Next Post Previous Post