Kereta Api Trans Borneo mungkin tidak melibatkan Sarawak, Abang Jo

KUCHING--Cadangan Projek Kereta Api Trans Borneo (TBR) daripada sebuah syarikat berpangkalan di Brunei mungkin tidak melibatkan Sarawak, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, cadangan itu sekiranya melibatkan Sarawak hendaklah mendapat persetujuan antara Malaysia, Indonesia dan Brunei.

“Saya tidak tahu kerana kita baharu terbaca yang cadangan daripada Brunei Energy. 

"Itu mungkin cadangan pihak swasta yang saya rasa tidak ada kena mengena dengan Sarawak," katanya dipetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai Majlis Rona Warni Aidilfitri X-Travaganza di Juma'ani Pavilion pada Ahad. 

"Ketika ini Malaysia melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) sedang melakukan fasa satu penyelidikan melibatkan hubungan kerajaan antara kerajaan (G2G).

"EPU akan berhubung dengan Indonesia dan juga Brunei supaya ada kata sepakat dalam kita membangunkan Borneo Rail,” ujarnya lagi. 

Sebelum ini Borneo Network melaporkan cadangan Bruenergy Utama untuk mewujudkan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi kepulauan Borneo akan dibina dalam dua fasa, membabitkan laluan sepanjang 1,620 kilometer.

Fasa pertama projek menyasar untuk menghubungkan bandar kuasa ekonomi di pesisir Barat yang bermula di Pontianak, Kalimantan Barat dan berakhir di Kota Kinabalu, Sabah.

Laluan bagi fasa pertama itu melalui Kota Kinabalu, Kimanis/Papar, Beaufort, Sipitang, Lawas, Bangar, Limbang, Bukit Panggal, Miri, Bintulu, Sibu, Sri Aman, Kuching, Sambas, Singgawang, Mempawah dan Pontianak.

Manakala fasa kedua akan menelusuri Utara dan Timur Kalimantan yang menghubungkan laluan utama dengan bandar besar Borneo iaitu Samarinda dan kemudiannya dengan ibu negara Indonesia iaitu Nusantara.

Laluan tersebut merangkumi Bukit Panggal, Long Seridan, Ba'kelalan, Long Bawan, Malinau, Tanjung Selor, Tandjungredeb, Pengadan, Lubuk Tutung, Bontang, Samarinda dan Balikpapan.
Next Post Previous Post