Sarawak bangunkan sistem grid air negeri

KUCHING-- Sarawak sedang membangunkan Sistem Grid Air Negeri secara berperingkat di seluruh Sarawak. 

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kerajaan Sarawak telah melancarkan Loji Rawatan Air Tanjung Manis pada 17 Mac lepas yang disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang dapat membekalkan air ke kawasan sekitar Belawai. 

"Loji ini boleh membekalkan 30 MLD tetapi permintaan semasa hanya 13 MLD," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatan ke Loji Rawatan Air Batu Kitang di sini hari ini bagi melihat kemajuan kerja-kerja menaik taraf loji tersebut bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran airnya kepada 884 juta liter sehari (MLD) daripada 780 MLD. 

Tambah Julaihi paip dari Tanjung Manis akan bersambung dengan paip yang disediakan oleh Lembaga Air Sibu dan membentuk grid.

Bagi kawasan lain pula katanya di Serian mempunyai Loji Rawatan Air Slabi dan Projek Fasa 2 Bekalan Air Wilayah Serian yang akan bersambung membentuk grid.

"Semua projek ini adalah usaha berterusan kerajaan Sarawak bagi mencapai liputan penuh bekalan air menjelang 2030," tegasnya.

Beliau memberitahu ketika ini liputan bekalan air di kawasan luar bandar adalah 70 peratus dan di seluruh Sarawak merangkumi bandar dan luar bandar adalah 85 peratus. 

Tambahnya, banyak projek telah diluluskan kerajaan Sarawak yang akan dan sedang dilaksanakan dan semuanya dibiayai kerajaan Sarawak.

Mengenai Loji Rawatan Air Batu Kitang, Julaihi berkata loji itu dinaik taraf daripada 780 MLD kepada 884 MLD secara fizikalnya telah siap dan kini melalui proses "Ujian & Pentauliahan" (T&C) sehingga bulan Julai 2024.

Menurutnya, walaupun masih melalui proses T&C, loji itu sudah boleh menghasilkan air terawat sehingga mencapai kapsiti 884 MLD menjelang bulan Julai depan.

"Kos naik taraf RM107 juta adalah peruntukan bajet kerajaan Sarawak.

"Setakat ini permintaan sebenar air terawat dari Loji Air Batu Kitang ialah sebanyak 730 MLD berbanding kapasiti penghasilan air terawat yang meningkat kepada 884 MLD.

"Pengguna terbesar adalah Samajaya Free Industrial Trade Zone yang kini mengguna 24 MLD," jelasnya.

Katanya lagi, kapasiti tambahan ini dapat membekal air ke kawasan Petra Jaya, Sampadi, Rambungan, Demak Laut dan Santubong.

"Malah loji ini juga membekal air terawat kepada JBALB yang seterusnya menghantar bekalan air terawat ke kawasan Asajaya, Kota Samarahan, Sadong Jaya, Sebangan, Sebuyau dan Simunjan di Bahagian Samarahan.

"Berdasarkan kapasiti baharu ini kelak reserve margin air terawat dari Loji Rawatan Air Batu Kitang ini akan meningkat dari 5 peratus kepada 12 peratus apabila selesainya T&C kelak," ujarnya.

Pada masa sama, beliau menegaskan langkah untuk menganti saluran paip lama dan uzur dan menaik taraf saluran paip di sekitar Bandaraya Kuching dan kawasan sekitar di Bahagian Samarahan serta seluruh Sarawak akan bermula sedikit masa lagi pada tahun ini menggunakan peruntukan RM247 juta dari bajet Sarawak yang sudah diluluskan. 

"Jumlah ini adalah sebahagian daripada jumlah kelulusan sebanyak RM 1.08 Billion yang sudah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak bagi mengganti paip uzur dan menaik taraf saluran paip sepanjang 2,740 km di seluruh Sarawak untuk jangka masa lima tahun.

"Langkah ini penting untuk mengawal dan mengurang air tidak terhasil @non revenue water ( NRW ) pada kadar sekurang-kurangnya 25 peratus selain memasti tekanan air tidak terjejas," ujarnya.
Next Post Previous Post