Lelaki dicekup bersama dadah di tepi jalan Kampung Serikin

BAU-- Seorang lelaki dicekup bersama dua paket dadah di tepi jalan Kampung Serikin di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Jawai Francis Kemas berkata, suspek ditangkap sekitar jam 10.50 pagi oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau dalam Op Tapis

"Hasil pemeriksaan di jalan tersebut telah menangkap seorang lelaki berumur 52 tahun kerana dua paket plastik lut sinar masing-masing berisi ketulan kristal putih disyaki dadah dalam satu beg silang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, dadah dengan berat kasar 51.44gram yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM3,000.

Jelas beliau lagi, hasil saringan air kencing suspek turut diuji positif dadah.

"Permohonan tahanan reman terhadap suspek akan dipohon untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
Next Post Previous Post