PADU: Rafizi mahu jumpa kerajaan Sarawak minggu depan

SHAH ALAM— Kementerian Ekonomi akan mengadakan pertemuan bersama kerajaan Sarawak minggu hadapan berhubung pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU).

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, ia susulan arahan oleh kerajaan negeri agar pendaftaran dan kemas kini PADU melibatkan kakitangan dan pegawai kerajaan negeri itu ditangguhkan.

“Kementerian sudah menghubungi kerajaan Sarawak untuk membincangkan perkara itu selanjutnya. Arahan penangguhan pendaftaran PADU itu adalah bagi membolehkan kerajaan negeri mendapatkan penjelasan kementerian berdasarkan beberapa pandangan susulan mesyuarat kabinet negeri.

“Setakat ini, saya difahamkan arahan untuk pendaftaran ditangguhkan hanya tertakluk kepada pegawai dan kakitangan kerajaan negeri,”katanya dipetik Malaysia Kini selepas Sesi Townhall Bersama Menteri Ekonomi Berkenaan PADU, di sini hari ini.

Beliau menambah, penduduk Sarawak boleh terus mendaftar seperti biasa menerusi portal PADU.

"Setakat minggu lepas, Sarawak merupakan antara negeri merekodkan pendaftaran tertinggi untuk platform PADU,"

Rafizi dalam pada itu menyifatkan kenyataan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa pendaftaran PADU ibarat ‘membogelkan’ maklumat peribadi setiap orang adalah sekadar pandangan peribadi.

Semalam, media melaporkan Kerajaan Sarawak meminta beberapa perubahan dibuat di dalam maklumat yang diperlukan sistem PADU.

Beliau berkata, mendaftar dengan PADU ibarat 'membogelkan diri' apabila mendedahkan semua butiran peribadi individu termasuk akaun bank, hartanah dan pelaburan.

Katanya, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri baru-baru ini berikutan timbul keraguan berhubung maklumat peribadi individu yang tidak sepatutnya didedahkan.

Sehingga 11.59 malam tadi (22 Mac), seramai 7.07 juta rakyat telah mendaftar dan mengemas kini sistem Padu.
Next Post Previous Post