Lebuhraya Pesisir Utara bakal dibina, libat kos lebih RM6 bilion

LIMBANG— Sarawak akan membiayai sendiri pembinaan projek mega Lebuhraya Pesisir Utara yang menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas menerusi Brunei yang dijangka dibina mulai 2025 hingga 2030.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek dengan kos RM6.1 bilion ini melibatkan pembinaan lebuh raya empat lorong.

“Projek melibatkan pembinaan lebuh raya empat lorong ini akan menghubungkan Miri, Limbang dan terus ke Lawas menerusi Brunei.

“Lebuh raya empat lorong ini akan menjurus ke Lawas yang mana kita juga telah mengenal pasti satu kawasan untuk dibangunkan satu pelabuhan dan lapangan terbang yang baharu.

“Pelaksanaan projek mega berkenaan adalah susulan daripada perkembangan pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan di wilayah utara negeri ini,” katanya dalam satu sidang media sempena lawatan beliau ke tiga tapak projek pembangunan di Bahagian Limbang, pada Rabu.

Abang Johari berkesempatan menaiki bot Sarawak Coastguard bagi melihat dengan jelas pelaksanaan Projek Cadangan Menaiktaraf Tebingan Sungai Limbang Fasa 2-Pakej 2 dan Fasa 3. Gambar ihsan UKAS

Antara projek itu ialah pembangunan landasan Lapangan Terbang Limbang yang akan dipanjangkan bagi membolehkan jet untuk mendarat.

“Kita juga sudah mengenal pasti satu kawasan untuk membangunkan tempat peranginan dan juga kawasan riadah yang berhadapan dengan Teluk Brunei. Ini akan menjadi satu tempat untuk kita mempromosikan sektor pelancongan di sini.

Pada sidang media yang sama, Abang Johari berkata sebanyak 266 projek bernilai RM462.1 juta yang dibiayai kerajaan negeri dilaksanakan di Bahagian Limbang.

“Setakat 29 Februari lalu sebanyak 93 projek atau kira-kira 37 peratus daripada jumlah tersebut telah dilaksanakan dengan jayanya, manakala 91 projek lagi dalam pelbagai peringkat pelaksanaan dan 57 projek dalam rancangan.

“Pembangunan infrastruktur ini menjadikan Limbang berpotensi menarik pelancong serantau serta mengeluarkan gas memandangkan kerajaan Sarawak menerusi Petroleum Sarawak Berhad (Petros) mengusahakan industri gas di situ.

“Sekarang kita sedang dalam perbincangan dengan pihak timur tengah yang mana kemungkinan mereka akan datang ke sini untuk bekerja dengan Petros bagi mengurus dan mengendalikan industri khasnya gas iaitu asas industri petrokimia,”katanya.
Next Post Previous Post