8 jam tunggu penerbangan, akhirnya diberitahu tiada tiket

Tiket penerbangan pengadu ke Long Lellang bertarikh 27 Februari, selepas menunggu lapan jam di Lapangan Miri pada 25 Februari.

MIRI— “Hendak melawat orang meninggal pun susah kerana penerbangan selalu tidak mencukupi. Tak tahu apa nak jadi.”

Itu luahan penumpang penerbangan luar bandar MASwings di Lapangan Terbang Miri yang menunggu hampir lapan jam untuk pulang ke Long Lellang.

Lelaki dikenali sebagai Lian itu berkata, pada 25 Februari (Ahad) lalu dia bersama tiga lagi penduduk kampung dalam senarai menunggu untuk pulang ke Long Lellang.

“Bayangkan seawal jam 6 pagi saya sudah menunggu di Lapangan Terbang Miri, namun hanya dimaklumkan tiada tiket pada 2 petang. 

“Tiga lagi penumpang dalam senarai menunggu berjaya pulang ke Long Lellang, manakala saya terpaksa menunggu penerbangan pada 27 Februari (Selasa),” 

“Kami menunggu berjam-jam lamanya sambil mendoakan ada yang penumpang yang membatalkan perjalanan saat-saat akhir. Keadaan ini meletihkan dan kami tidak tahu sampai bila harus begini.
katanya kepada Borneo Network hari ini.

Lian bersama beberapa penduduk kampung lain turun ke Miri untuk memberikan penghormatan terakhir kepada ketua masyarakat kaum Kelabit yang meninggal dunia pada 21 Februari.

Ketika ini, MASwings sebagai penyedia operasi perkhidmatan pengangkutan udara luar bandar (RAS) menyediakan tiga kali penerbangan seminggu iaitu setiap Ahad dan Selasa (Marudi- Miri- Long Lellang) dan Rabu (Miri - Long Lellang) menggunakan pesawat DHC-6 Twin Otter 14 penumpang.

Ia merupakan satu-satunya penerbangan yang menghubungkan Long Lellang selain beberapa kawasan pedalaman lain seperti Bario, Long Banga, Long Seridan dan Ba Kelalan dengan Miri dan Marudi.

Di sebalik usaha berterusan syarikat itu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk pedalaman Sarawak, ada yang merungut terutama berkaitan pengendalian tiket yang tidak memuaskan hati mereka.

Menceritakan lanjut, Lian berkata masalah ini kerap berlaku untuk penerbangan bagi laluan dari Marudi.

“Kami sering dimaklumkan oleh kaunter tiket di Miri bahawa penerbangan ke Long Lellang dari Marudi sentiasa penuh.

“Peliknya, penduduk yang berjaya mendapat tiket ke Long Lellang memaklumkan pesawat itu sebenarnya tidak penuh.

“Paling terkesan ialah kami yang dari Miri kerana sentiasa dalam senarai menunggu. Satu-satunya penerbangan terus dari Miri ialah pada Rabu, namun ia tidak mencukupi.

“Banyak orang kecewa tidak dapat pulang kampung. Saya sendiri sudah menyuarakan perkara ini kepada kedua-dua ketua kaum di sini untuk memohon penerbangan terus bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Lian berharap agar pihak MASwings dapat menambah penerbangan terus dari Miri ke Long Lellang setiap Jumaat bagi menampung penerbangan yang ada sekarang.

Penduduk yang tidak dapat membeli tiket penerbangan terpaksa menaiki pacuan empat roda dengan menempuh perjalanan sehingga 11 jam bergantung dengan keadaan cuaca.

“Namun bagi warga emas, kami memilih pengangkutan udara kerana ia lebih cepat berbanding pengangkutan darat yang lama dan meletihkan,” katanya.
Next Post Previous Post