JHS nafi pembalakan punca tanah runtuh Ulu Katibas

Gambar Kredit UKAS

KUCHING—Jabatan Hutan Sarawak (JHS) menafikan kejadian tanah runtuh di Ulu Katibas beberapa hari lalu berpunca daripada pembalakan, sebaliknya hujan lebat yang berterusan.

Pengarahnya, Datu Hamden Mohammad, dakwaan mengaitkan tanah runtuh dengan aktiviti pembalakan tidak benar memandangkan salah satu tapak tanah runtuh adalah di Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Lanjak Entimau.

“Buat masa ini, tanah runtuh ini kebanyakannya berlaku di Santuari Hidupan Liar Lanjak Entimau yang kita sedia maklum tidak mempunyai sebarang aktiviti pembalakan kerana ia merupakan kawasan yang dilindungi sepenuhnya,” jelasnya.

Akibat kejadian itu, katanya serpihan kayu di hulu dihanyutkan ke beberapa sungai termasuk Sungai Nyawai, Sungai Takai dan Sungai Kalimau Besi menyebabkan paras air naik ke hulu.

Sehubungan itu, Datu Hamden memberi jaminan pihaknya akan terus memantau rapi kawasan itu melalui tinjauan udara bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Dalam pada itu, tinjauan awal anggotanya pada 3 Mac mendapati terdapat kira-kira 10 kejadian tanah runtuh di kawasan tadahan Ulu Katibas.

“Hasil tinjauan awal kami mendapati tanah runtuh berlaku disebabkan hujan lebat setempat di kawasan tadahan Ulu Katibas.

“Berdasarkan penemuan satelit yang kita perolehi pada 3 Mac lalu, terdapat sekurang-kurangnya 10 tapak tanah runtuh di kawasan tadahan,” jelasnya lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau berkata demikian ketika ditemui pengeluar selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengurusan Hutan Tropika Mampan yang berlangsung di sini, pada Rabu.
Next Post Previous Post