SST 8%, harga babi kekal

KUCHING-- Tiada kenaikan harga babi tempatan yang dikesan setakat ini susulan peningkatan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada 8 peratus yang berkuatkuasa 1 Mac lalu.

Memetik laporan Dayak Daily, namun begitu, penjual daging babi tempatan di Pasar Kota Sentosa, Ah Lim mendedahkan daging haiwan ternakan itu ketika ini sememangnya sukar untuk didapati.

Jelasnya, ia susulan kebanyakan kilang menyembelih babi di sekitar Kuching dakwanya masih belum beroperasi akibat virus demam babi Afrika (ASF) sejak dua tahun lalu.

"Bekalan babi tempatan pun sukar diperolehi, mana saya tahu harga naik. Sekarang kebiasaannya kita menjual daging import (sejuk beku).

“Kalau ada babi tempatan, kita terpaksa ambil sendiri dan sembelih sendiri. Kilang menyembelih babi sekarang masih tutup,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, harga daging samcam (babi tempatan) ketika ini masih kekal pada harga RM35 sekilogram.

Sementara itu, seorang penjual babi di Serian yang terkesan akibat wabak ASF, Valerian Majeng berkata, kilang-kilang besar pemprosesan babi kini mula beroperasi semula.

"Manakala kilang-kilang kecil masih beroperasi dan membekal daging babi tempatan di daerah Serian.

“Tinjauan saya di pasar di Serian juga mendapati harga daging babi tempatan ini tidak naik," katanya.

Tambahnya, malahan ia lebih murah itu sekitar RM26 hingga RM29 untuk samcam dan tulang rusuk.

“Belum kedengaran harga naik sebab memang sudah naik sebelum ini. Kalau harga tinggi, orang tak mahu beli,” ujar Valerian.
Next Post Previous Post