Bazar Ramadan Kapit meriah, bukti perpaduan, keharmonian kaum di Sarawak

KAPIT -- Jika di Semenanjung Malaysia, bubur lambuk dan pelbagai kuih-muih tradisi menjadi antara tarikan di bazar Ramadan, pilihan makanan tempatan Sarawak tidak kurang hebatnya ‘membuat kemunculan’ di bazar di sini.

Antara yang sering menjadi tarikan adalah kuih Bungkor yang diperbuat dari tepung dan gula apong serta bubur Buang Panas – sejenis bubur manisan yang dimasak menggunakan campuran buah kurma, bali dan beberapa bijirin lain. 

Tinjauan di bazar Ramadan di Kapit Town Square mendapati menu-menu popular ini sangat laris dan menjadi tumpuan pengunjung bazar yang bukan sahaja terdiri daripada masyarakat Melayu Islam yang berpuasa, malah turut digemari oleh pengunjung bukan Melayu berbangsa Cina dan Iban.

Suasana meriah di bazar ini turut mencuri perhatian penjawat awam, Nurdhiya’aizat Othman, berasal dari Pahang yang pertama kali mengunjungi Kapit pada bulan Ramadan atas urusan kerja.

Katanya, kebiasaannya, bazar Ramadan di Semenanjung diadakan di lokasi strategik berhampiran kawasan yang mempunyai ramai penduduk Islam terutama di kampung-kampung serta bandar-bandar.

Ia berikutan kawasan sedemikian mempunyai sasaran pelanggan yang besar iaitu orang Islam yang mahu mencari juadah berbuka puasa.

“Namun, mungkin ramai yang tidak menyedari, di sebahagian kawasan yang majoriti penduduknya bukan Islam terutama di Sarawak, bazar Ramadan tetap diadakan dengan meriah, malah menjadi salah satu simbol keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini. Inilah yang saya kagumi tentang penganjuran bazar Ramadan di sini,” katanya. 

Dengan masyarakat Melayu hanya membentuk kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan penduduk bandar Kapit, bazar Ramadan di dataran bersebelahan Sungai Rejang ini turut mendapat sambutan menggalakkan pelbagai kaum lain terutama Iban dan Cina.

"Saya tahu kaum Melayu Islam adalah minoriti di Kapit justeru tidak menyangka bazar Ramadan tetap diadakan, malah meriah seperti di Semenanjung. Lebih menarik, di sini majoriti pengunjung sebenarnya adalah orang Iban dan Cina.

"Walaupun terdapat perbezaan kaum dan agama, masyarakat di sini kelihatan sangat harmoni, bersatu-padu dan mesra antara satu sama lain," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata bazar berkenaan adalah antara lambang perpaduan masyarakat di Kapit khususnya dan Sarawak umumnya.

"Suasana bazar Ramadan ini selalu meriah dikunjungi masyarakat pelbagai kaum yang turut sama membeli juadah yang enak.

"Beginilah Sarawak yang kami sayangi sejak dulu hingga kini, sentiasa harmoni," katanya yang turut meluangkan masa beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung bazar itu.

Terdahulu beliau berada di bazar berkenaan untuk menghadiri Jerayawara Bubur Lambuk Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) di bazar berkenaan yang turut diadakan di 61 lokasi lain di Kapit.

Di program berkenaan, Alexander telah menyampaikan sijil penghargaan kepada para peniaga bazar Ramadan Kapit selain menyerahkan sumbangan berupa beras dan barang keperluan dapur kepada penduduk sekitar Kapit yang memerlukan.

Beliau turut mengedarkan 200 bubur lambuk yang dimasak secara gotong royong oleh SABERKAS Pelagus, kepada peniaga dan pengunjung di bazar Ramadan ini sebelum menyertai buka puasa bersama-sama penduduk di sini.
Next Post Previous Post