Sindiket cuci dadah di Batu Kawa tumpas, lebih 11 kg syabu dan ketamin bernilai RM394,000 dirampas

KUCHING-- Polis Sarawak menyerbu sebuah makmal 'mencuci' dadah diserbu dan berjaya merampas 11.9 kilogram dadah syabu dan 66 gram dadah ketamin yang dianggarkan bernilai RM394,000 dalam serbuan di sebuah apartmen di Batu Kawa, di sini pada Jumaat.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datu Mancha Ata berkata, dalam serbuan sekitar jam 4.30 petang yang dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak itu, polis turut menangkap dua suspek lelaki berusia 26 dan 29 tahun.

"Ini bukan makmal memproses dadah tetapi makmal untuk mencuci dadah di mana dadah yang suspek perolehi dicuci supaya nilainya lebih tinggi dan kita yakin dadah-dadah ini untuk pasaran tempatan di Kuching dan Batu Kawa.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan untuk 59,632 orang penagih," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mancha berkata, polis yakin aktiviti mencuci dadah di situ sudah bermula sejak 2022.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, ujian saringan awal air kencing kedua-dua suspek mendapati suspek berusia 29 tahun positif amphetamine, methamphetamine dan ketamin.

"Malah, seorang suspek yang berusia 29 tahun mempunyai rekod kesalahan lampau iaitu Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tegas beliau, modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah mendapatkan bekalan dadah dari Semenanjung Malaysia.

"Sindiket mengedar dadah di sekitar Kuching dan daerah-daerah berhampiran mengikut permintaan pelanggan.

"Kedua-dua suspek menerima upah di antara RM10,000 hingga RM25,000," dedahnya.

Selain dadah, katanya, polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk mencuci dadah iaitu, seunit pam vakum dua peringkat, sekotak kerta baking, seunit sealer, empat botol cecair kimia bertulis acetone, lima botol cecair kimia bertulis ethyl alcohol, empat botol cecair kimia bertulis isopropyl alcohol dan satu corong porselin.

Turut dirampas, sekotak qualitative filter paper, tiga alat penimbang elektronik, sekotak glass microfiber filters, satu cop kayu bertulis very kick, seunit penyepit besi berwarna biru, seunit gunting berwarna biru tua, seunit cawan penyukat kaca, dua unit penapis besi, lima unit bikar kaca 1000ml, lapan unit bikar kaca 2000ml, seunit kelalang kon kaca 1000ml, seunit senduk plastik putih, lapan unit tray aluminium, 12 paket plastik berwarna hijau bertulisan guangyinwang dan dua unit penapis plastik bewarna kuning dan jingga.

"Polis turut menyita harta milik suspek yang bernilai RM62,345.60, iaitu sebuah kereta jenis Perodua Bezza, bernilai RM40,000, seutas rantai emas bernilai RM10,345.60 dan satu beg silang warna hitam jenama Louis Vuitton
Paris bernilai RM12,000," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari mulai 24 hingga 30 Mac 2024.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup, dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 12 sebatan bagi pesalah yang disabitkan kesalahan," ujarnya.

Dalam pada itu, Mancha berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 24 Mac 2024 seramai 2,887 orang telah ditangkap dalam pelbagai kesalahan jenayah narkotik, termasuk 169 orang pengedar (tokan) dadah. 

"Pelbagai jenis dadah bernilai RM9.2 juta telah dirampas dan harta-harta milik ahli sindiket bernilai RM1.4 juta telah disita.

"Justeru, Polis Diraja Malaysia khususnya JSJN akan meneruskan siasatan untuk mengesan saki baki sindiket yang terlibat dan pihak polis berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti kegiatan dadah yang berlaku di sekeliling mereka. maklumat boleh disalurkan melalui hotline JSJN di talian 012- 2087222," tambahnya.
Next Post Previous Post