Isu PADU: Kerajaan Sarawak mahu jaminan keselamatan data rakyat dilindungi

KUCHING-- Tindakan kerajaan Sarawak menghentikan sementara pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) di negeri ini adalah untuk meminta jaminan keselamatan dalam aspek pelaksanaan dan protokol data PADU demi menjaga kepentingan rakyat.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, Perhubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, secara prinsipnya kerajaan Sarawak menyokong usaha murni kerajaan persekutuan dalam memastikan sumber kerajaan dapat disalurkan dengan lebih berkesan untuk membantu rakyat tetapi ia harus dilaksanakan dengan berhati-hati.

Jelasnya, ini penting agar tidak menghalang rakyat Malaysia yang layak daripada menerima subsidi yang disasarkan dengan melihat kewangan individu, kedudukan dan kesejahteraan ekonomi.

"Malah, kebimbangan yang diutarakan oleh kerajaan Sarawak dan orang ramai secara amnya terhadap pelaksanaan PADU adalah wajar memandangkan kes mengenai pelanggaran dan kebocoran data serta penipuan berleluasa pada masa kini.

"Penyatuan data peribadi semua rakyat Malaysia dalam satu pangkalan data pusat perlu dilengkapi dengan tahap keselamatan dan perlindungan data tertinggi.

“Untuk menentukan subsidi bersasar, maklumat mengenai kedudukan ekonomi dan kewangan adalah penting tetapi tidak sehingga mendedahkan atau membongkar profil peribadi yang tidak diperlukan dalam menentukan kelayakan penerima yang disasarkan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambah Hasidah, penjelasan daripada Kementerian Ekonomi berhubung pelaksanaan dan protokol keselamatan mengenai perkara itu adalah penting agar kerajaan Sarawak menyokong penuh inisiatif Kerajaan Persekutuan, kerana ia juga perlu melindungi kepentingan rakyat Sarawak.

Pada masa sama beliau memberitahu, Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus seperti Akta Privasi untuk melindungi privasi peribadi, tidak seperti bidang kuasa lain.

Menurutnya lagi, ia kecuali Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), yang mengawal selia pemprosesan data peribadi berkenaan dengan transaksi komersial dan menyediakan prinsip untuk perlindungan data termasuk persetujuan, had tujuan dan keselamatan data.

Beliau menjelaskan, setakat ini PDPA sentiasa dijadikan rujukan kepada perkara yang berkaitan dengan perlindungan data dan privasi sebagai satu-satunya undang-undang utama yang berkaitan dengan perlindungan data di Malaysia.

Namun, jelasnya, adalah satu tanggapan yang salah bahawa PDPA ialah perundangan ‘hak privasi’. 

Katanya, meskipun privasi dan data peribadi selalunya boleh saling berkait, PDPA adalah sempit dalam aplikasinya kerana ia berkaitan dengan privasi data peribadi berbanding dengan hak privasi secara umum.

Walaupun tiada prinsip mengenai hak privasi di Malaysia, beliau menjelaskan, kes Mahkamah Persekutuan antara Sivarasa Rasiah dengan Badan Peguam Malaysia & Anor [2010] 3 CLJ 507 berpendapat bahawa hak untuk kebebasan peribadi di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan termasuk hak privasi.

“Dengan undang-undang terhad ke atas privasi dan perlindungan data, terdapat kebimbangan yang wajar untuk seseorang itu berkongsi data dan maklumat peribadi mereka di Malaysia,” ujarnya.

Baru-baru ini, tular satu surat Pekeliling yang meminta Jabatan dan pihak berkaitan di negeri ini diarahkan supaya tidak mendaftar maklumat di PADU buat masa ini sehingga dimaklumkan kelak.

Arahan itu dikeluarkan untuk semua kementerian dan jabatan di negeri ini selain pejabat Residen dan turut dipanjangkan oleh Residen Bahagian masing-masing kepada ketua masyarakat dan ketua kaum serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Arahan yang berkuatkuasa serta merta itu, bagaimanapun tidak memberitahu alasan berbuat demikian.

PADU dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu dan pendaftarannya dibuka sehingga 31 Mac 2024 bagi membolehkan orang ramai mengemas kini serta mengesahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.

Semua rakyat berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU iaitu https://padu.gov.my/.
Next Post Previous Post