Lari Bertempiaran Diserbu Polis, 7 kaki sabung ayam di Julau diberkas

JULAU-- Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau memberkas tujuh lelaki berusia lingkungan 19 hingga 64 tahun dalam serbuan di kawasan tanah lapang ladang kelapa sawit di sini kerana dipercayai menjalankan aktiviti perjudian pertaruhan sabung ayam petang semalam.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superitendan (DSP) Andam Sulin berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Julau telah membuat serbuan pada jam 2.30 petang.

“Sekumpulan kaki sabung yang menyedari kehadiran pihak polis lari bertempiaran ke kawasan hutan berhampiran.Bagaimanapun pihak polis berjaya menangkap tujuh orang lelaki yang terlibat dalam aktiviti ini, “ katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, hasil serbuan turut berjaya merampas dua ekor ayam hidup, seekor ayam
mati, alat penimbang, kotak tertulis jadual pertaruhan, sebilah taji, satu meja kayu
beserta kain holo, satu kong holo beserta dadu dan juga wang tunai berjumlah
RM 495.00.

“Tangkapan dan rampasan disiasat di bawah Seksyen 73(1)(g) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999. Jika disabitkan kesalahan, kesemua suspek boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. 

“Selain itu kes turut disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 jika sabit kesalahan boleh didenda RM6,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Katanya, pihak polis ingin menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-
mana pihak yang menjalankan kegiatan perjudian pertaruhan sabung ayam dan
juga lain-lain jenis perjudian terutama di kawasan Julau dan Pakan. 

Orang ramai diminta agar menyalurkan sebarang maklumat kegiatan jenayah kepada pihak polis.
Next Post Previous Post