Anggota polis wajib pakai jaket keselamatan di sungai, laut

Mancha (empat, kiri), Alexson (paling kiri) bersama yang lain bergambar dihadapan bot sumbangan Rosey untuk Balai Polis Bekenu, semalam. Gambar ihsan PDRM

MIRI— Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus mengambil iktibar berhubung tragedi bot terbalik di Kapit dengan menitikberatkan keselamatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelakkan kemalangan semasa bertugas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata menegaskan, antara SOP yang amat penting ialah pemakaian jaket keselamatan ketika melakukan tugasan menggunakan bot atau perahu.

“Komuniti polis mesti menggunakan jaket keselamatan sama ada di laut atau pun sungai. Jangan pandang ringan perkara ini kerana ia membabitkan nyawa,” katanya dipetik The Borneo Post pada Khamis.

Mancha berkata demikian selepas menyerahkan bot kepada Balai Polis Bekenu di Ibu Pejabar Polis Daerah (IPD) Miri, di sini.

Beliau mahu Ketua Polis Daerah memastikan semua anggotanya mematuhi SOP dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan diambil tindakan.

Dalam kejadian pada 7 Mac lalu, bot yang dinaiki lima orang termasuk dua anggota polis daripada IPD Kapit karam selepas merempuh pusaran air berdekatan Sekolah Kebangsaan Lepong Baleh.

Tragedi itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Kapit ke Nanga Tulie bagi mengiringi bahan letupan seberat 35kg dengan 1050rds bahan peledak, dilaporkan untuk kegunaan kerja-kerja meletupkan batu bagi projek pembinaan jalan di kawasan Baleh.

Sementara itu bot tersebut disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus bagi kegunaan Balai Polis Bekenu sebagai persiapan menghadapi bencana banjir dan juga operasi carilamat.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ibrahim Darus, Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu dan Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Mohd Sabri Zainol. 
Next Post Previous Post