Sinar Mekar beri penjelasan isu kelewatan Taman Landeh Heights Fasa 2

KUCHING-- Sinar Mekar Development Sdn Bhd (Sinar Mekar) tampil memperjelaskan isu projek perumahan Taman Landeh Heights Fasa 2 Projek "Landeh Heights" yang mengalami kelewatan.

Sinar Mekar dalam kenyataan hari ini berkata, Sinar Mekar telah memeterai Perjanjian Pembangunan Usahasama (JVDA) dengan Mahsaf Jaya Sdn Bhd (Mahsaf Jaya) untuk pembangunan/pembinaan rumah di Perumahan Taman Landeh Heights Fasa 2 Projek (Landeh Heights).


"Dalam JVDA tersebut, Sinar Mekar berperanan hanya menyerahkan milikan kosong tanah itu kepada Mahsaf Jaya yang merupakan pemegang lesen tunggal untuk membangunkan/membina semua rumah di Landeh Heights.

"Malah, Sinar Mekar tidak terlibat secara kontrak dalam pembangunan/pembinaan dan penyerahan semua rumah Landeh Heights kepada pembeli yang ditetapkan dalam JVDA," kata syarikat pemaju itu.

Syarikat pemaju itu berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Violet Yong berhubung isu tersebut yang telah menyebabkan 30 pembeli rumah menjadi mangsa dan terpaksa menunggu lebih lama untuk memiliki rumah yang sepatutnya siap pada 2020-2021. 

Tambah Sinar Mekar, pihaknya mempunyai bukti bahawa semua perjanjian yang berkaitan dengan penjualan dan pembelian semua unit Landeh Heights adalah antara pembeli dan Mahsaf Jaya.  

Oleh itu, tegasnya, tiada hubungan kontrak antara Sinar Mekar dengan mana-mana rumah pembeli.  

"Kelewatan pembinaan dan penyerahan rumah adalah disebabkan oleh Mahsaf Jaya.  

"Banyak percubaan telah dilakukan oleh Sinar Mekar dalam berkomunikasi dengan Mahsaf Jaya untuk menyiapkan pembangunan/pembinaan dan penyerahan semua rumah dalam tempoh yang ditetapkan dalam JVDA, tetapi ia tidak membuahkan hasil," jelasnya.

Tambahnya, pembeli rumah serta Sinar Mekar telah mengalami kelewatan yang melampau ini disebabkan oleh Mahsaf Jaya.

Namun, katanya Sinar Mekar sedang mencari semua alternatif yang mungkin untuk membantu pembeli menyelesaikan isu ini.

Justeru, Sinar Mekar dengan rendah hati menjemput Yang Berhormat Violet Yong ke pejabat mereka untuk penjelasan lanjut.

Pada sama sama katanya mencari jalan penyelesaian termasuk untuk mendapatkan bantuan memandangkan Violet seorang ahli politik dan seorang peguam yang berpengalaman bagi menangani isu rumah tersebut.

Gambar Kredit Sarawak Road Update. 
Next Post Previous Post