Seminggu kebakaran tanah gambut di Miri belum padam

Kawasan kebakaran hutan tanah gambut di Miri. Gambar ihsan APMM

MIRI— Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan kawasan baharu kebakaran di hutan tanah gambut berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram dianggarkan berkeluasan sekitar 60 ekar.

Pengarah Zon Maritim Miri Kapten Maritim Mohd Shafie Paing berkata, berikutan itu pihaknya mengatur gerak pesawat Bombadier CL-415 miliknya bagi menyambung operasi pemadaman di kawasan berkenaan bermula pagi ini. 

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya bersama bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
(JBPM) meneruskan usaha memadamkan kebakaran hutan tanah gambut di Sungai Adong, Miri untuk hari ketiga, hari ini.

“Setakat semalam, pesawat Bombardier CL-415 Maritim Malaysia telah membantu memadamkan kebakaran melalui teknik pengeboman air menggunakan sebanyak 42,000 liter air.

“Hasil operasi berkenaan, kawasan kebakaran dilaporkan telah pulih sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan lokasi yang terjejas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah, operasi bersepadu berkenaan sebelum itu terpaksa ditangguhkan akibat jarak penglihatan yang terhad pada petang semalam.

Orang awam diingatkan agar tidak melakukan aktiviti pembakaran secara terbuka, memandangkan negara kini mengalami musim panas sekaligus menjadi faktor utama kebakaran kecil bakal menjadi bencana yang lebih besar.

Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan orang ramai boleh menghubungi talian MERS 999 untuk tindakan segera.
Next Post Previous Post