Tentera Darat patahkan cubaan seludup 420kg gula dan 105 liter diesel

KUCHING-- Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui unit yang sedang melaksanakan operasi di bawah formasi Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan barang di Sektor Op JAGAKAWAN, Ba’kelalan, hari ini.

Jurucakap Sel Operasi Media Angkatan Tentera Malaysia berkata, pada jam 9.45 pagi, sepasukan anggota Tentera yang sedang melaksanakan penugasan rondaan di Kampung Punang Kelalan, Ba’kelalan iaitu jarak lebih kurang 900 meter dari sempadan Indonesia telah menjumpai bungkusan kanvas yang mencurigakan.

"Hasil daripada pemeriksaan mengesahkan terdapat 35 karton gula berjumlah 420 kilogram dan 3 tong minyak diesel 35 liter berjumlah 105 liter. 

"Kesemua hasil rampasan dianggarkan berjumlah RM 1,422.75," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya laporan polis telah dibuat di Pondok Polis Ba’kelalan.

Tambahnya kesemua barangan rampasan akan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Lawas pada 3 April 2024.

Tegasnya, TDM akan terus komited untuk memperketatkan kawalan di persempadanan Malaysia-Indonesia bagi memastikan kedaulatan Negara terus terpelihara dari sebarang bentuk pencerobohan PATI, kegiatan penyeludupan mahupun jenayah rentas sempadan.
Next Post Previous Post