Paip perlu dipasang di jambatan, mudahkan pengesanan jika berlaku kebocoran-Abang Johari

TANJUNG MANIS-- Sistem saluran paip air ke Loji Bekalan Air Tanjung Manis perlu ditambah baik, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau memberitahu, hal ini kerana saluran paip yang sedia ada berada di dasar sungai yang mungkin menyukarkan kerja-kerja pengesanan jika berlakunya kebocoran.

"Saluran paip ini menyeberangi tujuh sungai yang dibuat di dasar sungai boleh digunakan untuk kegunaan sementara sahaja.

"Jadi saya telah mengarahkan supaya paip ini disalurkan menggunakan jambatan dan untuk ini kekuatan jambatan akan ditingkatkan agar saluran paip boleh dibina merentasi jambatan ini," katanya.

Abang Johari (tengah) melakukan simbolik sempena perasmian Loji Bekalan Air Tanjung Manis, di sini hari ini. Gambar ihsan UKAS

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Loji Bekalan Air Tanjung Manis dan Program Pemimpin Bersama Rakyat di sini, hari ini.

"Risiko dibina di bawah air ialah kalau berlaku kebocoran kerana struktur tanah yang berubah dan paip bergesel maka ia akan mengganggu saluran air," tambah Abang Johari.

Jelasnya, jika saluran paip air ini dibina merentasi jambatan, ia memudahkan pengesanan sistem paip jika berlakunya kecoboran.

"Kalau dibuat merentasi jambatan, mudah untuk kita mengesan sekiranya berlaku kebocoran,” katanya.

Abang Johari meninjau fasiliti Loji Bekalan Air Tanjung Manis yang menelan belanja sebanyak RM974.1 juta memanfaatkan 2,431 penduduk. Gambar ihsan UKAS

Mengenai Loji Bekalan Air Tanjung Manis, Abang Johari berkata, bekalan air yang disalurkan ini bukan sahaja dapat digunakan oleh penduduk di Tanjung Manis, tetapi juga kawasan sehingga ke Sibu termasuk Bawang Asan dan Daro.

Meskipun Daro katanya, akan menerima bekalan air dari Sarikei namun terdapat kampung-kampung dan rumah panjang yang harus dibekalkan dengan air terawat.

Untuk rekod, Loji Rawatan Air Tanjung Manis telah mula beroperasi sejak 2 Oktober 2023 dan projek ini merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak yang menelan belanja sebanyak RM974.1 juta memanfaatkan 2,431 penduduk.

Kawasan yang mendapat manfaat projek ini adalah Pekan Tanjung Manis, Kampung Belawai, Jerijeh, Rajang, Serdeng, Sedau dan Bekakong.

Selain itu, air terawat dari Loji Rawatan Air Tanjung Manis juga akan disalur ke Pulau Bruit setelah projek “Proposed Water Supply to Pulau Bruit, Mukah Division” siap sepenuhnya pada suku kedua tahun ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, Loji Bekalan Air Tanjung Manis yang telah siap dan dirasmikan hari ini dilihat berupaya menyelesaikan masalah bekalan air yang membelenggu penduduk selama ini sama ada untuk kegunaan domestik atau industri.

Jelasnya, loji ini membekalkan air mentah dari Sibu ke Tanjung Manis sehingga 50 juta liter sehari dengan sejumlah 30 juta liter sehari air mentah bertujuan untuk dirawat di Tanjung Manis dan seterusnya dibekalkan kepada penduduk di kawasan sekitarnya.

Tambahnya, baki 20 juta liter sehari lagi air mentah adalah untuk memenuhi keperluan kawasan industri di Tanjung Manis. 

"Kawasan ini banyak kampung-kampung seperti Belawai, Jerijih, Rajang, Semalau, Sebayang, Tanjung Manis, Bekakong dan Serdeng akan mendapat manfaat daripada loji air terawat ini. Begitu juga sekiranya saluran paip ini sudah sampai ke Pulau Bruit kelak yang turut menerima manfaat.

“Dengan adanya projek ini, ia diharap dapat menyelesaikan masalah yang kita sering lalui sebelum ini. 

"Selepas ini kita akan mempunyai dua saluran sumber air iaitu satu dari Sarikei yang telah digunakan sejak tahun 1990 manakala satu lagi dari Sibu ini," katanya.
Next Post Previous Post