Elak projek jatuh semula ke tangan kontraktor bermasalah

Datuk Amar Douglas Uggah memantau perlaksanaan projek naik taraf Jalan Matang Baru Fasa 2 yang sudah diserahkan kepada kontraktor penyelamat. Gambar ihsan UKAS

KUCHING— Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas tidak mahu projek kerajaan yang sakit sebelum ini jatuh semula ke tangan kontraktor bermasalah.

Justeru, Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata, pelantikan kontraktor tertakluk kepada pemantauan dan lawatan berterusan untuk memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Kementerian akan memfokuskan kepada projek-projek sakit sebelum ini yang telah diserahkan kepada kontraktor penyelamat.

“Kerajaan tidak mahu masalah projek sakit tidak berulang semula di negeri ini,” katanya selepas mengadakan lawatan ke kerja menaik taraf Jalan Baru Matang Fasa 2 yang sedang dijalankan di sini pada Sabtu, lapor UKAS.

Menurut beliau, lawatan beliau pada kali ini menandakan bermulanya pemantauan rapi daripada pihaknya dalam memastikan tiada masalah projek sakit berulang semula di negeri ini.

Perlaksanaan projek kerajaan selepas ini akan dipantau sendiri oleh beliau bersama dua timbalannya, Dato Majang Renggi dan Datuk Ir Aidel Lariwoo dengan kerjasama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Dato Richard Tajan.

Dalam lawatan tersebut, beliau memberitahu bahawa Jalan Baru Matang Fasa 2 dijangka siap sepenuhnya menjelang Mei 2025 dengan kos pembinaannya berjumlah RM54.5 juta. 

Pada November lalu, sebanyak 22 kontrak telah ditamatkan oleh JKR di mana 16 daripadanya dibiayai oleh Kerajaan Negeri manakala enam adalah kontrak daripada Kerajaan Persekutuan

Uggah berkata, tindakan ini diputuskan untuk mengurangkan bilangan projek yang tertangguh secara kritikal dan memastikan projek-projek tersebut dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan.

Daripada jumlah penamatan kontrak tersebut, sebanyak 15 projek telah dijalankan semula melalui pelantikan kontraktor penyelamat yang baharu manakala tujuh lagi projek sudah berada di peringkat pra-kontrak.
Next Post Previous Post