EU dijangka iktiraf Malaysia pengeluar sawit patuh EUDR

KUCHING—Industri sawit negara bakal menerima khabar positif berhubung Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) daripada Kesatuan Eropah (EU) dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, kepimpinan EU dijangka mengiktiraf MSPO sebagai antara proses dalam pengauditan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) selewat-lewatnya Jun depan.

Perkhabaran baik itu menurutnya telah dikongsikan oleh delegasi EU kepada beliau setelah mengadakan sesi sumbang saran di negeri ini sejak Rabu lepas, bagi melihat potensi pelaburan di Sarawak, petik UKAS.

“Ini perkhabaran baik apabila MSPO kita diiktiraf maknanya produk komoditi tempatan yang kita keluarkan tidak perlu diaudit mereka.

“Kita mahu MSPO diiktiraf supaya pekebun kecil tidak tersisih atau terpinggir dengan EUDR,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan geran tahunan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan Parlimen Petra Jaya 2024, hari ini.

Pada Mei tahun lepas, Fadillah pada ketika itu memegang portfolio Menteri Perladangan dan Komoditi mengadakan lawatan rasmi serta misi perdagangan ke Brussels, Belgium bagi menjelaskan pendirian negara-negara anggota Majlis Negara-Negara Pengeluar Sawit (CPOPC) mengenai pelaksanaan EUDR.

Ia bagi memastikan produk sawit yang dieksport ke EU tidak disekat apabila EUDR dilaksanakan.

Sebagai ahli CPOPC, Malaysia komited untuk terbabit secara aktif dalam platform berkenaan dan meneruskan agenda menentang kempen negatif negara Barat terhadap minyak sawit.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan penyerahan geran tahunan berjumlah RM255,000 kepada 83 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Parlimen Petra Jaya, di sini pada Sabtu.
Next Post Previous Post