Ingatkan kawan betul rupanya scammer

MIRI— Niat untuk membantu rakan mengubah suai rumah bertukar mimpi ngeri apabila seorang lelaki di sini mendakwa kerugian RM18,900 diperdaya individu menyamar sebagai rakannya, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata, mangsa seorang pekerja swasta berusia lingkungan 20-an itu mendakwa telah dihubungi oleh suspek yang memperkenal dirinya sebagai rakan.

“Suspek memberikan alasan nombor lamanya tidak lagi digunakan dan memberitahu mahu meminjam wang bagi membiayai kos mengubah suai rumah.

“Mangsa telah membuat pindahan wang sebanyak empat kali ke dalam dua akaun berbeza yang diberikan suspek.

“Mangsa hanya sedar telah tertipu selepas menghubungi rakan sebenar tadi menggunakan nombor asal yang menafikan perkara itu. Jumlah kerugian mangsa adalah RM18,900,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu mangsa telah membuat laporan polis pada 16 Februari dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Next Post Previous Post