"King Myvi" cuba lari diperiksa polis berjaya ditahan, positif dadah

KUCHING-- Cubaan dua lelaki yang menaiki kereta Myvi melarikan diri daripada diperiksa polis gagal apabila ditahan di kawasan perumahan di Jalan Matang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 26 dan 30 tahun, ditahan sekitar jam 10 malam oleh pasukan URB Bravo BPJKK IPD Padawan.

"Semasa menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan Batu Kawa telah terserempak sebuah kenderaan Perodua Myvi yang mencurigakan. 

"Apabila diperiksa, kereta terbabit telah bertindak melarikan diri ke arah kawasan Matang dan berjaya ditahan semula di sebuah perumahan kawasan Jalan Matang. 

"Pemeriksaan suspek didapati positif Methamphetamine dalam ujian saringan air kencing," katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi IPD Padawan.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Sekyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali serta hukuman tempoh pengawasan pihak berkuasa selepas pembebasan sehingga tempoh tidak kurang 2 tahun dan tidak lebih 3 tahun," ujarnya.
Next Post Previous Post