Kes pecah rumah, curi di Kampung Bako, empat ditangkap termasuk seorang wanita

KUCHING-- Empat individu ditangkap termasuk seorang wanita disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan curi yang tular di media sosial yang berlaku di Kampung Bako di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, kesemua suspek yang ditangkap adalah warga tempatan berusia antara 22 hingga 37 tahun. 

"Keempat-empat suspek dipercayai terlibat dalam satu kejadian pecah rumah dan curi di Kampung Bako yang tular di media sosial baru-baru ini. 

"Tangkapan terhadap kesemua suspek telah dibuat pada semalam oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuching, diketuai oleh Inspektor Roshandi Sahari di empat lokasi berasingan di sekitar Kampung Bako," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, dalam kejadian itu melibatkan kerugian yang dialami oleh pengadu dianggarkan berjumlah lebih kurang RM1,000.

Mengulas lanjut, kata Ahsmon, hasil semakan rekod kesalahan lampau mendapati ketiga-tiga suspek lelaki mempunyai rekod tangkapan lampau melibatkan empat kes jenayah dan dua kes dadah. 

"Manakala ujian saringan awal air kencing, mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine/syabu. 

"Permohonan reman ke atas kesemua suspek telah diluluskan selama empat hari bagi membantu siasatan," jelasnya.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 14 tahun, dan bagi mana- mana kesalahan kedua atau kemudian hendaklah dikenakan denda atau sebat.

Justeru, beliau amat mengalu-alukan maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang di daerah Kuching dengan menyalurkan maklumat menerusi nombor telefon 082-244444 atau melalui aplikasi vsp 2.0.
Next Post Previous Post