DSP, Inspektor antara 5 pegawai polis ditahan proses ketum

MELAKA— Dua pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) dan Inspektor antara enam lelaki ditahan ketika sedang memproses minuman ketum di sebuah rumah di Alor Gajah malam tadi.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, kesemua lelaki yang terdiri daripada dua pegawai kanan dan tiga pegawai rendah polis serta orang awam berusia antara 31 hingga 55 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman kira-kira 11.30 malam.

Sepasang uniform operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dirampas dalam serbuan

“Kesemua pegawai polis yang ditahan bertugas di Kontinjen Melaka selain seorang lelaki yang merupakan kontraktor berusia 44 tahun.

“Dua pegawai kanan polis ditahan adalah berpangkat DSP dan Inspektor, manakala dua pegawai rendah adalah dua sarjan dan seorang Lans Koperal, kesemuanya berusia dalam lingkungan 31 hingga 55 tahun.  

“Turut dirampas 5.2 liter cecair ketum yang dipek ke dalam beberapa botol dan dibungkus dengan plastik selain sepasang uniform operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta satu besen,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata permohonan reman terhadap kesemua suspek itu akan dibuat pada hari ini untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(2) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Polis turut merampas tiga botol lutsinar dipercayai berisi cecair ketum seberat dua liter, 1.9 liter dan 500 mililiter (ml) serta tiga bungkus plastik mengandungi 800 ml air ketum.

Katanya, operasi sebegini akan terus dijalankan dalam membersihkan sebarang anasir-anasir yang tidak baik dari terus merebak agar pegawai polis yang menjadi "gunting didalam lipatan" yang boleh menjejaskan kredibiliti serta keyakinan masyarakat kepada pdrm diambil tindakan sewajarnya.
Next Post Previous Post