Raja Charles III hidap kanser-Istana Buckingham

Raja Charles III memberi makan kepada orangutan ketika melawat Pusat Hidupan Liar Semenggoh pada tahun 2017

LONDON-- Istana Buckingham pada Isnin mengesahkan Raja Charles III menghidap kanser, seminggu selepas baginda keluar dari hospital susulan pembedahan prostat.

Memetik laporan ABC News, Istana dalam kenyataan memaklumkan perkara tersebut namun tidak memperincikan jenis kanser dan tahap kritikalnya.

Ketika prosedur prostat dijalankan di hospital, baru-baru ini, pihak Istana melahirkan rasa bimbang akan perkara lain yang dikenal pasti.

Namun, baginda kekal positif dan mahu kembali menjalankan tanggungjawabnya secepat mungkin, selain memaklumkan baginda sudah memulakan rawatan.

Pada masa sama baginda akan terus melaksanakan urusan rasmi seperti biasa, walaupun dinasihatkan doktor supaya menangguhkan hasratnya itu.

"Baginda memilih untuk berkongsi diagnosis kansernya 'bagi mengelak spekulasi, selain berharap ia dapat membantu pemahaman umum berhubung penyakit itu'.

"Diagnos lanjutan mendapati ia adalah kanser," kata Istana Buckingham.

Pengumuman itu meraih pelbagai sokongan, selain Putera Harry memaklumkan sudah berbincang mengenai diagnosis dan akan melawat bapanya.

Difahamkan Harry, suami kepada Meghan kini menetap di California, Amerika Syarikat, dijangka menziarahi bapanya di United Kingdom, beberapa hari lagi.

Untuk rekod, tahap kesihatan Charles semasa ditabalkan sebagai raja selepas kemangkatan ibunya, Ratu Elizabeth II, 96, pada 8 September 2022, secara umumnya adalah baik.

Namun baginda dikatakan mengalami kecederaan akibat sukan polo dan ski.

Bulan lalu, Charles meraih pujian kerana secara terbuka memaklumkan keadaan prostat baginda, selain doktor mengakui lebih ramai masyarakat dijangkiti penyakit itu tampil mendapatkan rawatan selepas pengumuman berkenaan.
Next Post Previous Post