Upah RM10,000 bawa dadah ke Miri

SEPANG--Pasangan suami isteri antara tiga ditahan di kawasan parkir kondominium di sini, disyaki cuba menyeludup syabu seberat 36.53 kilogram (kg) bernilai RM1.2 juta ke Miri.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada 10.30 pagi, 24 Januari lalu.

"Siasatan awal mendapati suspek yang berusia 24 hingga 34 tahun itu dipercayai dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Miri.

"Pemeriksaan tiga bagasi mereka menemukan 38 bungkusan mampat dadah disyaki jenis methamphetamin atau syabu," katanya pada sidang media di IPD Sepang hari ini.

Beliau menambah, ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis amphetamin dan methamphetamin.

"Penahanan mereka dilakukan berdasarkan hasil maklumat pasukan polis di Miri yang menahan seorang lelaki menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur pada pagi sama kerana membawa dadah jenis sama.

"Ketiga-tiga suspek itu dipercayai menerima upah sebanyak RM10,000 bagi penghantaran dadah," katanya.

Sementara itu Sinar Harian melaporkan, dipercayai ini adalah cubaan kali ketiga suspek membawa dadah ke Miri melalui KLIA yang dilakukan sejak pertengahan tahun lalu.

"Soal siasat awal suspek datang dari Sarawak dan sempat bermalam satu hari untuk jalankan aktivitinya.

Beliau berkata, polis percaya dadah ini dibawa dari negara jiran sebelum dibungkus di kondominium yang disewa suspek dan usaha mengesan dalang masih dilakukan.

Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Next Post Previous Post