Hospital Kapit rayu sumbangan tilam dan almari untuk pesakit

KAPIT-- Hospital Kapit merayu orang ramai dan persatuan tampil menyumbang tilam dan almari untuk wad pesakit di hospital berkenaan.

Memetik laporan The Borneo Post, Timbalan Pengarah Hospital Kapit Dr Gavin Yap berkata, keadaan kabinet di situ ketika ini agak usang dan sebilangannya tidak lagi selamat digunakan.

Untuk rekod, Hospital Kapit mempunyai 134 katil untuk menempatkan pesakit umumum di wad lelaki dan wanita, wad bersalin, bilik pembedahan dan wad kanak-kanak.
 
"Almari digunakan untuk menyimpan barang pesakit sementara mereka dirawat di wad.

"Bagi tilam pula, adalah lebih baik untuk mempunyai jenis 'inflatable ripple', untuk keselesaan pesakit,” katanya dalam satu kenyataan selepas penyerahan sumbangan alat penapis air kepada hospital baru-baru ini.

Sumbangan itu daripada Tokong Dewa Hock Leong Ten Tai Pek Kong, Persatuan Tai San Ten Kapit dan Persatuan Pemilik Kedai Kopi dan Restoran Kapit.

Dr Yap berkata unit penapisan air itu akan ditempatkan di bahagian strategik di wad.

“Ini bagi memberikan kemudahan kepada pesakit, di mana mereka mempunyai akses segera kepada air minuman yang bersih, panas atau sejuk, pada bila-bila masa.

"Sebelum ini, mereka terpaksa membawa air minuman dari luar, atau membeli botol itu dari kantin hospital, yang menyusahkan," tambahnya.

Turut hadir pada majlis penyerahan ringkas itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang Anak Negeri dan Adat Istiadat) dan ADUN Bukit Goram Datuk Jefferson Jamit Unyat.
Next Post Previous Post