Tambah saham Affin Bank bakal dimuktamad

Abang Johari berucap pada sempena Sesi Tinjauan Pasaran Malaysia 2024 anjuran Kumpulan Affin di Menara Affin Tun Razak Exchange di sini.

KUALA LUMPUR-- Penambahan pegangan saham dalam Affin Bank Berhad akan dimuktamadkan dalam masa terdekat, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau menjelaskan, rundingan antara kerajaan Sarawak bersama Affin Bank dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) masih lagi dilakukan bagi potensi urus niaga saham tambahan.

Tambahnya, Affin Bank merupakan sebuah syarikat awam dan beliau enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu menjejaskan posisi mereka. 

“Kita nampak prestasi Affin Bank sangat baik, pada asasnya kita melakukan risikan pasaran. Jadi, tidak lama lagi, dalam masa yang terdekat.

"Affin Bank ialah syarikat tersenarai dan kami tidak boleh mendedahkan jumlah saham dan saya perlu mematuhi keperluan Bursa Malaysia tetapi kami sedang memuktamadkannya dengan perbincangan dengan LTAT,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ucaptama sempena Sesi Tinjauan Pasaran Malaysia 2024 anjuran Kumpulan Affin di Menara Affin Tun Razak Exchange di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan-timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah dan barisan menteri dan timbalan menteri kabinet negeri.

Untuk maklumat, kerajaan Sarawak mempunyai 4.95 peratus pegangan dalam bank itu selepas membeli 112.56 juta saham pada pertengahan April 2023 pada harga RM1.97 sesaham, berjumlah RM221.74 juta.

Pada ucaptamanya, Abang Johari berkongsi mengenai inisiatif-inisiatif kerajaan Sarawak terutamanya mengenai tenaga-tenaga yang boleh diperbaharui serta tiga dasar Strategi Pembangunan 2030 Pasca COVID-19 (PCDS 2030). 

Pada masa sama beliau turut menyentuh mengenai hasrat Sarawak untuk menjadi ‘Bavaria of Malaysia’. 

“Sekiranya Sarawak makmur dan stabil, Malaysia juga akan makmur dan stabil. Di negara German, terdapat sebuah wilayah yang paling kuat bernama Bavaria. 

“Misi kita adalah untuk menjadi Bavaria Malaysia,” ujarnya.

Sebelum ini, Affin Bank berkata pemegang saham utamanya LTAT telah mengesahkan laporan berita bahawa dana angkatan tentera sedang berbincang dengan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak untuk "kemungkinan transaksi saham tambahan" dalam bank itu.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata kerajaan negeri berminat untuk meningkatkan pegangan sahamnya dalam bank bagi memacu pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, selain daripada tujuan pelaburan dan simpanan negeri.

 “Pendapatan diuruskan oleh tiga faktor iaitu perbelanjaan, pelaburan dan simpanan.  

"Tiga faktor ini penting bukan sahaja untuk mengurus pendapatan tetapi juga untuk melindungi masa depan rakyat dan anak-anak kita.  

"Oleh itu, inilah sebabnya kami ingin melihat bank itu kerana ia adalah sebahagian daripada pelaburan kami,” katanya.
Next Post Previous Post