Sarawak lancar Kamus Terjemahan English-Iban, kandungi lebih 65,000 perkataan

KUCHING-- Sarawak hari ini berjaya melancarkan Kamus Terjemahan English-Iban yang mengandungi lebih 65,000 perkataan sebagai rujukan terkini dan membantu pengguna dalam pemahaman bahasa Iban. 

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kamus itu mempunyai 698 muka surat tidak termasuk pendahuluan, kamus ini diusahakan bersama pensyarah dari Jabatan Pengajian Bahasa Iban, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang serta ahli-ahli Persatuan Pembangunan Pendidikan Bahasa Iban (AEDIL) diketuai Dr Lambat Lindong selaku penyelaras projek. 

"Saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat di dalam penghasilan Kamus Terjemahan English-Iban ini. 

"Saya amat menyambut baik usaha seperti ini kerana dalam meningkatkan kecintaan masyarakat Iban terhadap bahasa, ianya perlu digerakkan dari semasa ke semasa. 

"Penerbitan Kamus Terjemahan English-Iban ini akan memberi impak positif kepada galeri bahasa di negara kita yang mempunyai pelbagai bangsa dan etnik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis peluncuran Kamus Terjemahan English-Iban di Auditorium Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang di sini, hari ini. 

Tambah Uggah, selari dengan Malaysia yang telah dikenali di persada antarabangsa yang terbina atas kerukunan pelbagai bangsa, maka masyarakat Iban boleh menonjolkan keunikan bahasa mereka kepada masyarakat antarabangsa, dengan menghasilkan kamus yang boleh digunakan untuk meningkatkan pengetahuan tentang bahasa Iban, khasnya pihak luar yang ingin mendalami dan belajar bahasa Iban.

"Selaku individu yang menyalurkan dana untuk projek penerbitan kamus terjemahan ini, saya sendiri mengikuti perkembangan usaha untuk menerbitkan kamus ini yang memakan masa bertahun-tahun. 

"Usaha yang begitu lama ini sangat mahal dan bermakna kerana selain daripada berjaya melunaskan amanah yang telah dipertanggungjawabkan.

"Saya percaya usaha yang murni ini mampu menyuntik semangat kepada golongan-golongan cendikiawan Iban agar terus menghasilkan penerbitan yang seumpamanya atau penerbitan lain yang berbentuk ilmiah, yang mampu mengangkat martabat bahasa Iban agar setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia ini," ujarnya.

Menurutnya lagi, penerbitan kamus terjemahan ini juga membuka peluang kepada mereka yang berminat dalam penulisan yang berkaitan dengan akademik, budaya, keagamaan dan seumpamanya.

Ini kerana katanya, para penulis boleh memilih perkataan-perkataan yang lebih sesuai mengikut keperluan penulisannya. 

"Kamus terjemahan yang mengandungi 698 muka surat ini sudah semestinya menyajikan pilihan perkataan yang cukup banyak untuk disesuaikan dengan bentuk penulisan mahupun penggunaannya dalam pertuturan seharian," jelasnya.

Sementara itu, Dr Lambat berkata, sasaran awal projek ini adalah untuk menghasilkan buku istilah sahaja namun diperluaskan kepada penghasilan kamus.
 
“Data mulai dikumpul pada Februari 2020 dan dicetak Ogos tahun lepas selepas usaha gigih selama tiga tahun enam bulan.

"Maklum balas awal daripada penerbitan kamus ini sangat menggalakkan dan sangat membantu untuk mereka yang menulis dalam bahasa Iban. 

"Satu salinan kamus ini telah dihantar kepada pengguna di England selain akan turut dihantar ke Australia. 

"Harapan kita daripada penghasilan kamus ini ia akan dapat melestarikan Bahasa Iban, menjaga keaslian Bahasa Iban dan memperluaskan penggunaannya,” katanya.
Next Post Previous Post