Hanya seorang pegawai urus Bahasa Iban di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak-Uggah

KUCHING-- Setakat ini hanya terdapat seorang pegawai yang menguruskan Bahasa Iban di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, Sarawak memohon mohon bilangan itu ditambah bagi melicinkan lagi pengurusan berkaitan Bahasa Iban. 

"Isu kekurangan pensyarah Bahasa Iban di Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI) sangat kritikal. 

"Ramai guru Bahasa Iban yang layak memohon menjadi pensyarah tetapi kerana lokasi yang jauh dan kekangan keluarga menyebabkan mereka terpaksa membatalkan niat untuk berkhidmat di sana. 

"Oleh itu, kita cadangkan supaya pusat pengajian Bahasa Iban dipindahkan ke Sarawak bagi mengatasi isu ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Kamus Terjemahan English-Iban di Auditorium Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang di sini, hari ini. 

Tambah Uggah, satu lagi isu ialah kekurangan bahan rujukan dalam Bahasa Iban. 

Tegas beliau, keadaan ini menyebabkan para guru hanya berpandukan dan merujuk kepada teks semasa proses Pengajaran dan Pembelajaran( PdP) dilaksanakan. 

"Kita berharap pihak kementerian akan dapat melakukan sesuatu untuk menyelesaikan isu ini," katanya.   

Dalam pada itu, Uggah menjelaskan berdasarkan data Bahasa Iban Sesi Akademik 2022/2023, jumlah guru bahasa Iban sekolah rendah ialah seramai 2,836 orang, namun hanya 385 orang guru yang opsyen bahasa Iban. 

Untuk sekolah menengah pula, katanya, seramai 282 orang guru bahasa Iban, dan daripada jumlah tersebut hanya 63 orang sahaja yang mempunyai opsyen bahasa Iban.

"Justeru, saya amatlah berharap agar pengambilan dan penawaran program bahasa Iban di institusi-institusi tersebut diteruskan setiap tahun, bagi menampung keperluan guru-guru bahasa Iban yang masih belum mencukupi. 

"Saya juga ingin menyentuh beberapa isu berkenaan dengan pendidikan Bahasa Iban, amat merunsingkan tidak ada pengambilan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan(PISMP) Opysen Bahasa Iban oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dua tahun berturut- turut bermula tahun 2021 dan 2022.  

"Jika tidak ditangani, isu ini boleh melumpuhkan pendidikan Bahasa Iban yang telah dilaksanakan mulai tahun 1963," tegas beliau.
Next Post Previous Post