Penjawat awam persekutuan berkhidmat di Sarawak terima "bonus" bulan ini

Gambar arkib Setiausaha Kerajaan Persekutuan Datuk Ahmad Nadzri Mohd Hassan bersama Premier Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Abu Bakar Marzuki

KUCHING-- Penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Sarawak akan menerima pembayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM600 pada bulan ini.

Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan dalam surat maklum memberitahu, ini susulan pengumuman Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Belanjawan Negeri Sarawak 2024 November lalu.

"Seperti mana sedia maklum, Yang Amat Berhormar (YAB) Premier Sarawak telah mengumumkan pemberian BKK Tahun 2023 sebanyak RM600 kepada pegawai Perkhidmatan Awam yang berkhidmat di Sarawak pada 2023 semasa Sesi Penggulungan Bajet 2024 Sarawak pada 29 November 2023 yang lalu di Dewan Undangan Negeri, Sarawak. 

"Bantuan ini diberikan bagi menghargai sumbangan pegawai Perkhidmatan Awam di Sarawak yang bersama-sama berganding bahu dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Sarawak pada tahun 2023," katanya.

Susulan daripada itu, jelasnya, Kerajaan Sarawak akan menyalurkan peruntukan bagi tujuan pembayaran BKK kepada Jabatan Akauntan Negara Malaysia Negeri Sarawak.

"Pembayaran akan dilaksanakan pada bulan Januari 2024 berdasarkan terma dan kelayakan syarat pembayaran," ujarnya.

Pegawai yang layak menerima BKK adalah pegawai lantikan tetap, sementara, pekerja sambilan harian, personel MySTEP, pembantu pemaju masyarakat sukarela (PPMS), Contract of Service dan Contract for Service dan pegawai berwarganegara Malaysia masih berkhidmat pada 30 November 2023 dan sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut di Sarawak pada tahun 2023.

Manakala pegawai yang tidak layak adalah pegawai berkhidmat kurang daripada 30 hari berturut-turut bagi tempoh sehingga 30 November 2023 di Sarawak, pegawai yang dikenakan hukuman tatatertib dalam tempoh 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023, pegawai yang ditahan gaji, digantung kerja atau surat pertuduhan telah dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib sehingga 31 Disember 2023.

Selain itu, pegawai yang ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam dalam tempoh 1 Januari 2023 hingga 30 November 2023 dan pegawai yang meletak jawatan dalam tempoh 1 Januari 2023 hingga 30 November 2023; dan Pegawai yang bercuti tanpa gaji sepanjang tahun 2023.
Next Post Previous Post