Dapat bekalan dadah dari "Boss", lelaki terlibat dadah lebih 5 tahun dicekup

KUCHING-- Guna dadah lebih lima tahun, seorang lelaki dicekup polis bersama syabu di sebuah rumah di Kampung Segedup, Jalan Batu Kawa pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 44 tahun itu ditangkap pada jam 10.30 pagi tadi di rumah tersebut.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan menjumpai satu bekas tin warna ungu bertulis Blackcurrant Flavour eclipse MINTS yang di dalamnya terdapat satu bekas plastik ubat yang di dalamnya terdapat enam paket plastik lutsinar kecil masing-masing mengandungi ketulan-ketulan Kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar dianggarkan 5.15 gram di dalam satu beg silang warna hitam yang bergantung dibelakang pintu bilik tidur. 

"Susulan itu suspek ditahan untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan medis hari ini.

Tambahnya, nilai dadah tersebut dianggarkan berjumlah RM1,030.

Jelas Abang Zainal lagi ujian air kencing suspek yang mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah juga diuji positif Amphetamine, Methamphetamine.

"Suspek mengaku telah terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah selama lebih 5 tahun dan mengaku dadah yang dirampas polis adalah kepunyaannya.

"Suspek menyatakan mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki cina panggilan 'boss' dengan kekerapan dua kali seminggu," tegasnya.

Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Tapah untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama.

"Usaha mendapatkan maklumat lanjut daripada suspek dan mengesan punca bekalan dadah sedang giat diusahakan," ujarnya.
Next Post Previous Post