SPRM rakam keterangan isteri, dua anak Tun Daim serta Ismail Sabri

KUALA LUMPUR--Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah memanggil Toh Puan Nai'mah binti Abdul Khalid, isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Abdul Daim bin Zainuddin serta dua anaknya, Muhammad Amin Zainuddin bin Daim dan Muhammad Amir Zainuddin bin Daim di Ibu Pejabat SPRM bagi dirakamkan keterangan, hari ini.

Ketiga-tiga individu ini dipanggil memberi keterangan bagi memastikan beberapa perkara berhubung aset bernilai tinggi di dalam dan di luar negara yang berada di bawah nama syarikat kepunyaan mereka serta terkait dengan siasatan terhadap Tun Abdul Daim bin Zainuddin.

SPRM ingin menjelaskan bahawa satu Notis telah diserahkan kepada Tun Abdul Daim bin Zainuddin di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 pada 7 Jun 2023 manakala Notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 juga telah diserahkan kepada ahli keluarga beliau. 

Sebagaimana yang telah dinyatakan pada Kenyataan Media SPRM bertarikh 30 Disember 2023 yang lalu, siasatan terhadap Tun Abdul Daim bin Zainuddin ini telah bermula pada Februari 2023 berdasarkan pendedahan serta maklumat daripada Kertas Pandora. Siasatan terhadap aset milik Tun Abdul Daim bin Zainuddin ini juga masih terus berjalan.

Selain itu, SPRM juga ingin memaklumkan bahawa telah merakamkan keterangan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob bagi membantu siasatan berhubung penggunaan dana RM700 juta yang dibelanjakan untuk tujuan publisiti dan promosi semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.
Next Post Previous Post