Berbelas tahun hadap banjir kilat, penduduk Kampung Riam Jaya dakwa tiada tindakan

MIRI--Seorang penduduk di Kampung Riam Jaya meluahkan kekecewaan berikutan tiada tindakan daripada pihak berwajib untuk mengatasi masalah banjir kilat.

Menurut pengguna akaun Facebook Aziey Razali, sudah berbelas tahun mereka berdepan masalah itu tanpa penyelesaian.

"Kali tok aku bena² fed up, harap dengan kuasa viral ada sesuatu boleh dipolah. 

"Berbelas tahun aku ngadap banjir kilat tanpa jalan penyelesaian. Apabila di kemukakan pada pihak berkuasa dan jawatan kuasa kampung, sikit pun tiada tindakan yng dilakukan.

"Sistem perparitan yang teruk, parit dibuat hanya half way," luahnya dalam hantaran itu.

Katanya, mereka terpaksa bersengkang mata pada waktu malam kerana terpaksa membersihkan kotoran banjir.

"Inikah yang dibanggakan warga Kampung Riam Jaya?

"Di waktu malam orang lain nyaman tidur, sedangkan kami separuh mati bersihkan banjir.

"Adilkah untuk kami? Jangan kata saya tak pernah mohon dari kerajaan untuk penyelesaian," katanya lagi.

Menurut Aziey, dalam tempoh tersebut sudah berpuluh aduan dikemukakan.

Namun tindakan itu ibarat mencurah air ke daun keladi.

"Pada tahun 2024 saya mahu tindakan," tegasnya.

Diharapkan wakil rakyat dan agensi berkaitan dapat menyelesaikan masalah ini terutama pada musim tengkujuh ini.


Gambar kredit Aziey Razali
Next Post Previous Post