Pasangan kembar lemas, seorang maut seorang lagi selamat
KUCHING-- Seorang kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia setelah usaha menyelamatkannya selepas dijumpai lemas gagal.
Dalam kejadian melibatkan adik beradik kembar itu, kedua-dua mereka sebelumnya dijumpai lemas selepas jatuh ke dalam longkang di Kampung Gita Baru di Petra Jaya di sini kira-kira jam 2.50 petang hari ini.
Bagaimanapun, budak lelaki itu bersama kembarnya berjaya diselamatkan yang mana adiknya dibawa ke hospital dengan ambulans.
Manakala abangnya yang lebih tua dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh bapanya dengan kereta keluarga.
Di HUS, ibu kanak-kanak kembar itu berkata mereka sedang berjalan ke kedai berhampiran namun berhenti di sebuah jambatan.
Dipercayai si adik sedang menjenguk ke dalam sungai secara tiba-tiba terjatuh dari jambatan berkenaan.
Ekoran itu, si abang kemudian terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan pasangan kembarnya itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah mengesahkan kejadian tersebut selepas dimaklumkan sekitar jam 2.41 petang tadi.
"Kedua-dua kanak-kanak adalah pasangsn kembar. Seorang selamat dan seorang lagi disahkan meninggal dunia di HUS.
"Kes siasat sebagai mati mengejut (SDR), dan pihak polis meminta orang ramai untuk menghormati keluarga mangsa," ujarnya.