Meradong bakal tuai padi tiga kali setahun

Premier Sarawak melihat sendiri benih padi hibrid di Kampung Lubok Punggor. Gambar arkib

BINTANGOR— Anak jati Meradong melakar sejarah dengan mengusahakan sawah padi hibrid pertama di Sungai Padi, menggunakan baka padi bermutu tinggi membolehkan tanaman itu dituai tiga kali setahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek yang diusahakan Onemas Agriculture Sdn Bhd ini merupakan projek perintis pertama di Meradong meliputi keluasan 25 hektar.

“Penanaman padi tersebut sangat berjaya di Negara China apabila mereka mampu melakukan sekurang-kurangnya tiga tuaian setahun. 

“Selepas 21 satu hari, kita boleh lihat secara fizikal anak pokok itu tumbuh, dan selepas 21 hari, mereka pindahkan anak benih ke sawah,” katanya dalam Taklimat Laporan Pemprosesan Penanaman Padi Hibrid anjuran Onemas Agriculture, di Pejabat Daerah Meradong pada Jumaat.

Ding menambah, sebelum ini beliau pernah mengetengahkan projek itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana optiis terhadap potensinya yang berupaya menyediakan peluang ekonomi kepada rakyat Meradong. 

Beliau sehubungan itu berharap kementerian memberi perhatian sewajarnya untuk menjayakan projek ini sekaligus memanfaatkan ekonomi penduduk tempatan.

“Saya turut mencadangkan kementerian untuk membuka semula sawah padi di Sungai Tulai yang sebelum ini tidak begitu berjaya.

“Dalam sidang DUN saya juga ada menyebut mengenai skim mini sawah padi di kawasan Sungai Tulai sebelum ini yang mempunyai keluasan 600 lebih hektar, jadi harap skim perintis ini berjaya,” tambahnya.

Katanya, kejayaan projek penanaman padi hibrid adalah sangat penting bagi membolehkan kewujudan tapak baharu untuk tanaman berkenaan sekaligus memberi peluang ekonomi kepada penduduk tempatan.
Next Post Previous Post