Lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat Sarawak, Dr Sim

KUCHING — Keputusan mewajibkan pemaju perumahan membuat pembayaran gantian membolehkan Sarawak membangunkan lebih banyak rumah mampu milik yang berkualiti, kata Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Timbalan Premier itu berkata, kerajaan telah meminda peraturan di dalam Ordinan Pembangunan Perumahan Sarawak 2002 itu bagi menangani isu kualiti rendah rumah mampu milik yang dibina dalam 30 peratus kawasan projek perumahan yang dibangunkan pemaju swasta.

Dr Sim berkata, di bawah peraturan baharu ini pemaju tidak lagi diwajibkan menyediakan 30 peratus daripada kawasan projek itu dengan rumah kos rendah mampu milik, sebaliknya membuat pembayaran gantian atau payment in lieu yang setara.

“Terdapat banyak kes di mana pemaju perumahan tidak memenuhi syarat membina rumah mampu milik di bawah skim perumahan atau projek pembangunan bercampur di atas tanah seluas 10 ekar atau lebih.

“Dengan keputusan kerajaan negeri untuk mengawal pembinaan rumah mampu milik, tidak ada alasan untuk pemaju tidak menyumbang kepada rumah mampu milik untuk rakyat.

“Mereka perlu menjalankan tanggungjawab sosial mereka kerana perumahan adalah keperluan asas semua orang tidak kira anda kaya atau miskin,” katanya dipetik The Borneo Post Online selepas melancarkan memoir bekas ADUN Batu Kawa Datuk Alfred Yap di Parti Rakyat Bersatu Sarawak ( ibu pejabat SUPP) di sini semalam.

Dr Sim, yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, mengalu-alukan keputusan itu sebagai memastikan rakyat mampu membeli rumah, berkata ini sentiasa menjadi salah satu matlamat kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Malah, cadangan untuk ini pernah diketengahkan oleh Kementerian Perumahan beberapa tahun lalu.

“Kita tidak boleh menunggu pemaju membina rumah mampu milik, mereka akan mendakwa mereka tidak mempunyai dana yang mencukupi. Itu tidak adil kepada rakyat.

“Jadi, di sinilah kerajaan memutuskan bahawa kita tidak memerlukan pemaju membina rumah mampu milik tetapi sebaliknya menyalurkan dana (kepada tabung amanah perumahan) dan kita akan membina rumah itu sendiri,” katanya.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini mengumumkan, pemaju perumahan berskala besar tidak diwajibkan membina rumah mampu milik di kawasan projek mereka, berkuatkuasa suku pertama tahun ini.

Katanya, sebelum ini kerajaan negeri mewajibkan pemaju swasta membina 30 peratus rumah mampu milik untuk projek berkeluasan 10 ekar (4,047 hektar) atau lebih.

“Sebaliknya, pemaju perumahan diwajibkan membuat pembayaran gantian atau payment in lieu yang setara dengan 30 peratus ini.

“Dana ini akan dimasukkan ke dalam Tabung Amanah Perumahan untuk kerajaan membangunkan sendiri rumah mampu milik yang berkualiti sekaligus tidak menjejaskan mana-mana pihak terutamanya pembeli kemudian hari,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Skim Perumahan Sungai Bedaun pada Sabtu.

Premier menambah, langkah dibuat ekoran ada sesetengah pemaju perumahan yang tidak jujur dalam memajukan tanah perumahan sehingga mendatangkan masalah seperti kerugian dan projek terbengkalai. 

“Ada pemaju perumahan yang tidak bertanggungjawab di mana dia tetapkan 30 peratus untuk harga mampu milik tetapi hasil rumah tersebut ‘cincai’ sahaja, malah ada yang terbengkalai. Contohnya projek Sentoria Borneo Samariang Garden yang sepatutnya siap pada 2020,”katanya.
Next Post Previous Post