Kes kembara halang ambulans, isteri mendiang maafkan pemandu terbabit

KUCHING-- Kes tular melibatkan sebuah kereta Perodua Kembara yang menghalangi ambulans baru-baru ini, isteri kepada mendiang Morgan Alban sudah memaafkan pemandu terbabit secara terbuka di Facebooknya malam tadi.

Annie Andrew dalam hantaran Facebooknya memberitahu, keluarga pemandu terbabit sudah membuat permohonan maaf kepadanya di atas kejadian tersebut.

"Selamat malam, saya isteri kepada mendiang Morgan Alban (kes viral kembara QSE5666) ingin memaklumkan pihak keluarga kembara(anak pemandu) telah memohon maaf (dan) dengan ini saya sebagai isteri mendiang menerima pemohonan maaf dari pihak keluarga pemandu terbabit," katanya.

Jelas Annie lagi, anak pemandu terbabit memaklumkan bahawa bapanya yang merupakan pemandu Kembara berkenaan sememangnya mempunyai masalah pendengaran kronik yang telah disahkan oleh doktor pakar pada 2017.

Dalam pada itu, Annie menasihatkan ahli keluarga pemandu terbabit mengambil dan menekankan aspek keselamatan sekiranya bapa mereka mahu memandu kenderaan demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

"Jadi saya sebagai isteri mendiang menasihati agar pemandu terbabit tidak memandu lagi selepas ini atau kalau perlu memandu kenderaan tersebut sila pastikan dia memakai alat pendengaran sebelum memandu kenderaan.

"Keadaan ini amat membahayakan bukan hanya kepada pekara ini tetapi banyak lagi pekara lain boleh terjadi.

"Janganlah pekara yang sama akan berulang kedua kali dan belaku pada orang lain," katanya.

Selain itu, beliau turut menasihati orang ramai terutamanya pengguna Facebook tidak memberi komen yang tidak wajar seperti mempertikaikan masa kejadian tersebut berlaku atau sebagainya.


"Bagi saya isteri kepada mendiang setiap saat amat berharga buat saya, walaupun 1 saat kerana keluarga kecil saya ini mempunyai 2 anak kecil yang berumur 2 tahun dan 1 tahun.

"Setiap saat masa itu amat berharga buat saya dengan harapan anak-anak saya akan terus boleh merasa kasih sayang bapa mereka.

"Anak-anak saya belum puas merasa kasih sayang dari bapa mereka dan belum boleh ingat kenangan manis mereka bila bersama, jadi berhati-hati dalam bertutur kata," nasihatnya.

Mengenai mendiang Morgan, difahamkan mendiang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian St Lawrence di Sabu, Simanggang esok hari. 

Semalam, pemandu terbabit telah dikenakan denda oleh polis selepas dia enggan memberi laluan kepada ambulans di KM6 Jalan Sri Aman-Kuching menerusi satu video klip tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mathew Manggie berkata polis menemui rakaman itu sekitar jam 3 petang pada Jumaat dan segera bertindak mengesan pemandu untuk diambil tindakan.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.