Cinta berputik di tarian Singa

Samsudin dan Memey meminati tarian singa sebelum berkahwin.

KUCHING— Tarian singa dan naga pernah membuatkan Samsudin Azman, 45, menangis ketakutan, di zaman kanak-kanaknya.

Namun, ketakutannya bertukar menjadi minat yang mendorong beliau untuk mempelajari tarian singa secara mendalam.

Kini, Samsudin bukan hanya mahir tarian singa malah menguasai tarian naga.

Bercerita lanjut, beliau berkata minat terhadap tarian singa mula berputik dalam dirinya semasa membesar di Kampung Keranji di Bau.

Beliau juga belajar di sekolah aliran Cina dan kerap menyaksikan tarian singa di kampung semasa sambutan Chap Goh Mei.

“Semasa kecil, saya akan melarikan diri sambil menangis setiap kali ada persembahan tarian singa. Rupa naga dan singa yang seakan-akan hidup membuatkan saya ketakutan.

“Namun apabila semakin besar, saya jatuh hati dengan keunikan persembahan ini. Malah saya membuat sendiri kostum tarian menggunakan kotak dan meniru pergerakan tarian,” katanya ketika ditemui Borneo Network di sini baru-baru ini.

Kerana minat mendalam, Samsudin kemudian menyertai Sarawak Jing Ying Dragon and Lion Dance Association dan kerap membuat persembahan.

Menariknya, aksi lincah Samsudin melakukan gerakan singa dan naga itu turut disertai oleh isterinya Memey Syuhaida Dunggat.

Menurut Samsudin, beliau sudah membuat persembahan tarian itu sebelum berkahwin dengan isterinya.

“Selepas kami berkahwin, Memey yang sememangnya meminati tarian itu menyertai persatuan,” katanya.

Menurut Memey, minat terhadap tarian itu berputik selepas bertahun-tahun menyaksikan persembahan itu.

Wanita berbangsa Iban dan Bidayuh itu berkata, beliau mulai belajar tarian ini selepas menyertai Sarawak Jing Ying Dragon and Lion Dance Association pada 2022.

“Baru saya sedar tarian ini bukan untuk orang Cina sahaja, tetapi sesiapa sahaja boleh asalkan ada minat dan mahu belajar,” katanya.

Memey mengakui beliau berasa segan untuk mempelajari tarian itu kerana ia bukan budaya asal.

“Namun saya beruntung kerana ahli-ahli persatuan sentiasa memberikan kata-kata semangat. Mereka tidak pernah memandang rendah kebolehan saya walaupun bukan berbangsa Cina.

“Saya masih ingat pada permulaan gerak tari agak kaku, namun persatuan mengajar dengan penuh dedikasi langkah demi langkah sehingga pandai.

“Buat masa ini saya masih dalam proses pembelajaran dan hanya membuat tarian singa. 

“Berbanding tarian singa yang hanya mengikut langkah penari di hadapan, tarian naga lebih mencabar kerana melibatkan pergerakan dari tiang ke tiang.

“Kami berdua merupakan ahli Sarawak Jing Ying Dragon and Lion Dance Association. Lazimnya jika ada persembahan dan kekurangan penari, persatuan akan memanggil kami terutama semasa Tahun Baharu Cina,” katanya.

Memey menambah, setakat ini persatuan itu mempunyai kira-kira 30 ahli dengan separuh daripadanya bukan Cina.

Ahli persatuan itu, Kelvin Chong menyifatkan pembabitan kaum Melayu dan Dayak seperti Samsudin dan Memey dalam tarian singa yang merupakan tradisi dalam kebudayaan Cina suatu yang membanggakan.

“Kesungguhan mereka ini melambangkan kita semua orang Sarawak yang harmoni.

“Justeru tiada masalah untuk kaum lain menyertai persatuan ini, malah kita amat mengalu-alukan,” katanya.

Katanya, persatuan itu setakat ini mempunyai lebih 30 kostum singa dan lapan kostum naga.

Untuk sambutan Tahun Baharu Cina ini, persatuan mempunyai kostum naga baru sepanjang 68 meter yang memerlukan 24 penari.
Next Post Previous Post