Orang awam bantu mangsa kemalangan tersepit

BINTULU— Tindakan pantas orang awam berjaya menyelamatkan dua mangsa yang kesakitan tersepit selepas kenderaan mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Jepak, berhadapan SMK Kemena di sini petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 5 petang dan mengerahkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu ke lokasi.

“Setibanya di tempat kejadian didapati kemalangan berkenaan melibatkan dua kenderaan iaitu jenis Perodua Viva dan Proton Wira.

“Terdapat seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu di dalam Proton Wira manakala dua orang mangsa di dalam Perodua Viva telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pihak bomba bertindak menggunakan peralatan untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tindakan selanjutnya. 

Menurutnya, impak kemalangan itu menyebabkan pemandu Proton Wira, lelaki berusia 54 tahuh mengalami sakit bahagian dada dan pendarahan mulut. Dua lagi mangsa yang menaiki Perodua Viva dibawa menggunakan EMRS ke hospital.

Seterusnya pihak bomba menggunakan satu aliran salur bantu mula sumber air jentera bagi membersih tumpahan minyak akibat kemalangan.

Gambar PGO Sarawak
Next Post Previous Post