Tiong beri amaran kepada gangster

SIBU— Kerajaan tidak bertoleransi dengan gangster di Sibu dan akan mengambil tindakan keras ke atas mana-mana pihak yang terlibat, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Sri Tiong King Sing.

Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu dan ADUN Dudong berkata, insiden yang berlaku di kedai kopi di Jalan Wong King Huo awal bulan ini mengejutkan seluruh masyarakat Sibu dan menimbulkan kebimbangan orang awam tahap keselamatan mereka.

“Sesungguhnya saya tidak akan memberi muka kepada gangster yang bertindak sesuka hati seolah-olah undang-undang mereka yang punya.

“Saya sudah mengarahkan Ketua Polis Sibu dan penguat kuasa undang-undang untuk menjejaki pelaku kes seumpama ini,” katanya berucap pada majlis makan malam Tahun Baharu Cina PDP di sini malam tadi.

Sebelum ini, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sibu harus bersikap tegas dan memerangi habis-habisan akan kegiatan jenayah yang berlaku di Sibu demi keselamatan orang awam

Katanya, keselamatan orang awam sentiasa menjadi keutamaan yang mana ketidaktentuan khususnya yang melibatkan keselamatan boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat awam.

Insiden tembakan ini jelasnya telah menimbulkan kegusaran dan mengejutkan semua pihak di Sibu yang seolah-olah mengambarkan Sibu sebagai sebuah bandar yang tidak selamat untuk didiami.

PDRM Sibu katanya harus bersungguh-sungguh dalam menangani unsur-unsur yang menyalahi undang-undang di kawasan Sibu dan mengambil tindakan tegas untuk mencegah sebarang aktiviti jenayah.

"Saya percaya bahawa PDRM Sibu berupaya bagi menjalankan siasatan secara progresif bagi menjalankan siasatan berhubung insiden ini sekaligus memerangi unsur-unsur jenayah berkaitan.
Next Post Previous Post