Sarawak boleh jadi pembekal sumber tenaga kepada ASEAN, Abang Jo minta kerajaan pusat labur di negeri ini

KUCHING-- Pelaburan berkaitan sumber tenaga baharu yang berpotensi tinggi di Sarawak antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.  

Beliau menjelaskan, dalam pertemuan empat mata itu, Sarawak meminta Perdana Menteri untuk melabur dalam bidang sumber tenaga baharu tersebut.

Tegasnya, ini bagi membolehkan Malaysia melalui Sarawak menjadi hab sumber tenaga bersih di rantau ASEAN.

"Apa yang diberitahu kepada PM adalah kita minta (kerajaan persekutuan) melabur dalam bidang ini supaya kita dapat menjadi hab sumber tenaga di ASEAN kerana kita mampu mengeluarkannya.

"Saya telah berbincang dengan PM pada Jumaat lepas mengenai sumber tenaga yang ada di Sarawak. Kita amat bertuah kerana dianugerah Tuhan dengan begitu kaya sumber aslinya," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Krismas Anglika di Dewan Paroki Katedral di Katedral St Thomas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, antara sumber tenaga yang ditawarkan oleh Sarawak adalah tenaga hidro yang menggunakan teknologi baharu yang tidak menjejaskan alam sekitar.

"Keduanya, tenaga suria iaitu solar yang merupakan industri baharu yang kian berkembang pesat.

"Ketiganya, adalah kita ada konsep baharu oleh saintis yang saya sebut tadi P2G2P maknanya daripada pecahan air kepada hidrogen dan hidrogen ini pula boleh mengeluarkan tenaga MCF yang boleh dijadikan sumber tenaga," jelasnya.

Selain itu, katanya, Sarawak juga mempunyai sumber tenaga daripada biomas seperti kayu palet yang boleh ditanam di negeri ini.

"Malah, kita sudah ada akses dan kita sekarang membekalkannya kepada Singapura dan boleh dibekalkan ke seluruh Malaysia kerana kita amat berpotensi untuk membekalkan tenaga ini.

"Menjelang 2030, saya rasa tenaga untuk luar bandar juga mencukupi," ujarnya.
Next Post Previous Post