PSB sertai PDP: Belum ada mesyuarat GPS, lampu hijau mungkin dari RoS- Abang Johari

KUCHING-- Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan bahawa beliau tidak ada memberi 'lampu hijau' untuk PSB menyertai PDP.

Kata Pengerusi GPS itu, belum ada mesyuarat antara parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) diadakan berhubung perkara tersebut.

"Saya tidak tahu, saya mahu ucapkan Selamat Hari Krismas saja.

"(Lampu hijau itu) bukan daripada GPS, itu antara mereka (PSB-PDP) tetapi kalau mereka hendak bergabung mereka perlu memaklumkan kepada RoS (Pendaftar Pertubuhan).

"Namun, salah satu daripada parti tersebut perlu dibubarkan sama ada PSB atau PDP (kerana) tidak ada (istilah) dua parti bergabung, salah satu parti perlu dibubarkan.

"Maknanya, kalau satu parti bubar ahli parti itu boleh menentukan parti mana mereka nak sertai, tidak semestinya mereka perlu menyertai PDP mereka boleh sertai parti lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkara itu selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Krismas Anglika di Dewan Paroki Katedral di Katedral St Thomas di sini hari ini.

Tambah Abang Johari, mungkin 'lampu hijau' yang dimaksudkan itu adalah daripada RoS dan bukannya daripada GPS.

"Apa yang boleh saya katakan adalah mereka perlu rujuk kepada RoS terdahulu mungkin mereka sudah dapat lampu hijau daripada RoS, bukan daripada GPS kerana kami belum ada mesyuarat GPS," tegasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PSB Dr Johnical Rayong Ngipa semalam dipetik berkata, PSB dijangka akan dibubarkan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina tahun depan selepas parti tersebut menerima ‘lampu hijau’ untuk menyertai PDP.

Perkara berkenaan katanya telah dimaklumkan Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh kepada beliau pada Ahad dan mereka akan merujuk kepada RoS terlebih dahulu bagi mengetahui prosedur pembubarannya. 

Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing semalam juga menggesa anggota PDP bersedia menerima ahli PSB menyertai parti itu.

“Kami akan terus berjuang bersama. Sebagai pemimpin politik sudah tentu kita melakukan kesilapan di sana sini, tetapi kita mesti tahu bila hendak berhenti bergaduh sesama sendiri dan bekerjasama demi kepentingan rakyat," ujarnya.
Next Post Previous Post