Pendapatan Sarawak 2023 sudah cecah RM13.1 bilion -Abang Johari

Gambar Kredit UKAS

KUCHING-- Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan bahawa Sarawak telah mencipta rekod baharu apabila mencatatkan pendapatan mencecah RM13.1 bilion pada tahun ini.

Beliau memberitahu, jumlah itu melepasi jangkaan awal yang ditetapkan iaitu RM12.7 bilion.

"Saya dimaklumkan (oleh Setiausaha Kewangan Sarawak pada minggu lepas), selepas kita tutup akaun minggu lepas, jumlah pendapatan sebenar sudah mencecah RM13.1 bilion, satu rekod yang sangat membanggakan," katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Anglikan anjuran St Thomas Catheral Parish di sini hari ini.

Jelas Abang Johari, jumlah pendapatan itu hasil daripada sumber pendapatan baharu yang diperkenalkan termasuk pemindaan undang-undang baharu di negeri ini.

Tambahnya, Sarawak menjangkakan akan terus menerima pendapatan yang tinggi menerusi ‘new revenue engineering’ yang dilakukan oleh Kerajaan Sarawak.

Katanya, ia termasuk penggubalan beberapa undang – undang baharu yang akan menjana hasil yang besar kepada Sarawak.

"Saya berharap perkara itu akan dapat dilihat dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada barisan Kabinet Kerajaan Sarawak yang telah memainkan peranan masing–masing.

Selain itu, beliau memberitahu, kerajaan Sarawak juga kini mengutamakan pembangunan di negeri ini agar rakyat dapat menikmati manfaat daripadanya.
Next Post Previous Post